Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad hari ini membidas kenyataan exco kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa yang menyifatkan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings ke Bursa Malaysia sebagai haram.

Isa berkata, kenyataan naib presiden PAS itu boleh "mengelirukan" dan "memabukkan" masyarakat kerana menurutnya Felda membuat urusan dalam perkara yang halal.

"Apa yang haram? Haram pasal apa? Kita (berniaga) kelapa sawit ini apa yang haramnya?," katanya ketika ditanya dalam taklimat berhubung penyenaraian FGVH di pejabatnya hari ini.

Husam dalam satu ucapannya sebelum ini membangkitkan bahawa langkah penyenaraian itu haram kerana Felda itu tidak berhak ke atas tanah seluas 380,180 hektar yang akan dipindah milik kepada FGVH daripada Felda Plantation.

Husam berkata, menurut Seksyen 37 Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960, tanah yang tidak mempunyai peneroka hanya boleh dimiliki oleh individu dan koperasi.

Malah, Felda juga hanya bertugas untuk menguruskan tanah berkenaan dan bukannya untuk memiliki tanah, kata Husam.

Tanpa mengulas isu berkait dengan peruntukan tersebut, Mohd Isa berkata tindakan membuat hukum seperti dilakukan Husam itu semudah mengucap selamat pagi.

"Dia yang halal pun haram. Dengar cakap pemimpin PAS, manusia jadi keliru jadi mabuk. Perkataan itu (bagi mereka) macam perkataan Assalamualaikum saja, macam good morning.

"BR1M pun haram tapi (pengikut PAS) ambil. Kemudian kalau ada durian runtuh (untuk peneroka Felda) haram juga, tapi dia ambil, ini kumpulan manusia yang teruk.

Ditanya lanjut, Isa juga yakin bahawa tindakan kerajaan Kelantan menghantar notis bantahan kepada Suruhanjaya Sekuriti tidak akan menjejaskan penyenaraian tersebut.

Begitu juga dengan tindakan kerajaan negeri Kelantan untuk menyekat pengambilalihan tanah rancangan Felda negeri itu, kata Mohd Isa lagi.

"Tak apalah kalau dia nak ambil, kita cukup tanah. Kelantan tak banyak sangat tanah," katanya lagi apabila ditanya mengenai tanah seluas 55,500 ekar di negeri itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS