Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad berkata anggota Koperasi Permodalan Felda (KPF) tidak akan menyertai penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) sebagai pemegang saham.

Sebaliknya, bahagian peneroka itu akan dipegang oleh satu badan amanah yang akan diumumkan kelak, kata Mohd Isa dalam satu taklimat kepada wartawan hari ini.

Katanya, langkah alternatif itu diambil memandangkan Felda kesuntukan masa untuk menyenaraikan FGVH di Bursa Malaysia.

Katanya, badan yang akan diumumkan Suruhanjaya Sekuriti dalam draf prospektus berkenaan, dijangka akhir minggu ini, mungkin berupa tabung amanah atau badan yang memegang saham berkenaan bagi pihak KPF.

Katanya lagi, tindakan itu juga dibuat kerana KPF mengemukakan tawaran balas, melibatkan soal struktur dan terma yang dipohon.

"Jadi buat masa ini KPF tidak dapat sertai penyenaraian yang dibuat," katanya.

Tambahnya, langkah penyenaraian itu sebelum ini tergendala berikutan injuksi ex parte yang dikemukakan lapan orang pemegang saham KPF.

Jelasnya, FGVH perlu mengemukakan akaun baru kepada Suruhanjaya Sekuriti sekiranya melepasi sasaran penyenaraian pada akhir Jun.

"Kalau tunggu ambil masa lama sedangkan kita masa terhad," katanya ketika ditanya.

Beliau juga memberi jaminan bahawa peneroka berkenaan akan mendapat keuntungan lebih daripada penyenaraian tersebut.

Jelasnya, selain mendapat dividen melalui KPF, peneroka berjumlah lebih 112,000 orang itu akan memperoleh dividen daripada keuntungan FGVH.

Peneroka itu juga mempunyai pilihan untuk membeli saham FGVH, kata Isa lagi.

"Itu boleh bincang, kita Felda ini saudara mara semuanya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS