Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Jawatankuasa BERSIH 2.0 akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini bagi membincangkan lokasi alternatif untuk perhimpunan 28 April.

Bagaimanapun, kedua-dua pengerusi bersama jawatankuasa Datuk A Samad Said dan Datuk S Ambiga masih bertegas mengadakan perhimpunan itu di Dataran Merdeka kerana kawasan tersebut "milik rakyat".

"Kalau ditanya, saya ingin mengekalkannya di Dataran Merdeka sebab kita tidak minta waktu yang banyak, sekadar dua jam duduk bantah," kata Samad dalam sidang media hari ini.

Katanya menteri dalam negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein sendiri berulang kali menyatakan bahawa perhimpunan itu "tidak berbahaya dan seolah-olah BERSIH ini tidak apa-apa."

"Kalau tidak apa-apa, apa sebabnya harus diapa-apakan... Saya pergi ke Negeri Sembilan, Perak dan Johor menjelaskan hal ini.

"Tapi sikap saya adalah konsisten, saya mahu BERSIH 3.0 ini diadakan di Dataran Merdeka," katanya yang menambah Ambiga turut membayangkan sikap yang sama.

"Kalau kita beralih sikap, ia akan memberi impak yang buruk," katanya lagi.

Tambahnya, isu berkenaan bagaimanapun harus dirujuk kepada kesemua anggota jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0.

Acara kebangsaan?

Dalam rundingan malam ini, beliau akan menyatakan pendirian untuk tetap berhimpun di Dataran, katanya lagi.

Beliau juga berharap supaya jawatankuasa itu bersedia untuk menyatakan pendirian sama kerana mereka kesuntukan masa untuk memilih lokasi alternatif.

Turut bercakap dalam sidang media itu ialah seorang lagi ahli jawatankuasa pemandu Maria Chin Abdullah yang mempertikaikan alasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan BERSIH 2.0 untuk menggunakan Dataran Merdeka pada 28 April.

Katanya, DBKL memberi alasan bahawa Dataran hanya boleh digunakan untuk acara kebangsaan, namun lokasi itu juga pernah digunakan untuk program bertujuan komersial seperti larian marathon, pertunjukan kereta dan karnival.

"Apa alasan asas mereka menolak permohonan BERSIH? Oleh sebab itu kita tetap berpegang bahawa Dataran Merdeka dimiliki oleh rakyat," katanya.

Seorang anggota jawatankuasa berkenaan, Dr Subramaniam Pillay sementara itu berkata mesyuarat tergempar malam ini akan tetap membincangkan cadangan untuk mengadakan perhimpunan tersebut di  lokasi lain.

Perkara itu timbul susulan kenyataan Hishammuddin yang dilaporkan berkata, beliau bersikap terbuka sekiranya perhimpunan itu diadakan di Stadium Merdeka atau Stadium Bukit Jalil.

"Kita akan bermesyuarat malam ini bersama dengan semua gabungan NGO... Mungkin esok akan ada keputusan konklusif kami," kata Dr Subramaniam dalam sidang media sama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS