Islam adalah agama Allah yang ajaran-Nya berasas fitrah yang Dia ciptakan kepada manusia. Maka Islam adalah agama fitrah ( natural religion ), sesuatu yang bercanggah dengan fitrah manusiawi ditolak oleh agama ini.
Islam yang sebenar selaras dengan sifat penciptaan manusia yang telah Allah jadikan. Maka, Islam menolak homoseksual, lesbian dan segala yang menyanggah fitrah asal insan itu.
Demikian Islam menolak kezaliman, penindasan, ketidakadilan, kebodohan dan seterusnya kerana ia bercanggah dengan fitrah manusia.
Mereka yang menolak homoseksual ataupun lesbian tetapi membiarkan atau akur dengan ketidakadilan tidak memenuhi elemen fitrah yang Allah ciptakan.
Demikian juga mereka yang menentang ketidakadilan tetapi menerima amalan songsang, ia bercanggah dengan roh Islam ini.
Firman Allah: "Maka hadapkanlah wajahmu ke arah agama yang hanif (yang menyembah Allah Yang Esa) itu agama Allah yang fitrah yang Dia ciptakan manusia di atasnya. Tiada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui" (Surah ar-Rum, 30).
Allah telah ciptakan manusia atas fitrah yang menjadikan naluri manusia yang benar mempunyai persamaan sekalipun berbeza keturunan, tempat, zaman dan agama. Kezaliman umpamanya, ditolak dan dibenci oleh fitrah manusia tanpa mengira keturunan, tempat, waktu dan agama.
Justeru itu, dalam semua cerita, drama dan filem yang diterbit oleh sesiapa sahaja di dunia ini sama ada oleh Hollywood, ataupun Bollywood mestilah mengakhirinya dengan kemenangan ataupun sokongan moral berada di pihak yang baik dan kekalahan di pihak yang jahat.
Jika ia love story seperti Titanic yang heronya mati pun, perasaan dan support moral filem tetap berada di pihak yang ditindas. Jika ada filem yang menyimpulkan watak jahat menang dan dimuliakan, sementara watak baik tewas dan dihina oleh kesimpulan filem, tentu ia tidak mendapat sambutan.
Ia terkeluar dari naluri yang dibekalkan dalam jiwa insan. Padahal para penonton itu mempunyai latar keturunan, tempat dan agama yang pelbagai. Namun mereka berkongsi satu perkara yang sama dalam hal itu, iaitu fitrah insan menolak ketidakadilan dan kezaliman.
Penindasan golongan lemah
Apa-apa ajaran yang mengiyakan kezaliman dan penindasan, ataupun ketidakadilan, ia terkeluar dari fitrah, dan sudah pasti ia bukan ajaran Tuhan yang menciptakan manusia manusia atas fitrah.
Apa sahaja fatwa agama, ataupun tindakan keagamaan yang menyanggahi fitrah, ia tersasar dari kebenaran. Perasaan insan yang betul fitrahnya sensitif dengan kezaliman dan ketidakadilan. Inilah yang Nabi SAW didik para sahabah baginda.
Kata sahabah Nabi SAW yang bernama Jabir: Apabila pulang dari penghijrahan ke Habshah (Abyssinia), kami kembali kepada Rasulullah SAW, lalu baginda berkata: "Tidak mahukah kamu semua ceritakan kepadaku perkara paling menakjubkan yang kamu lihat di Habshah?"
Seorang pemuda berkata: "Wahai Rasulullah! Ketika kami duduk, seorang wanita mereka melintas, dia membawa atas kepalanya suatu bekas air. Dia melintas di hadapan seorang pemuda mereka, lantas pemuda itu meletakkan satu tangannya atas bahu wanita tua itu dan menolaknya sehingga jatuh melutut.
"Terpecahlah bekas airnya. Apabila dia bangun, dia menoleh ke arah pemuda tersebut lalu berkata: 'Wahai pengkhianat! Apabila Allah meletakkan kerusi-Nya, Dia menghimpunkan makhluk yang awal dan akhir, apabila tangan dan kaki boleh berbicara mengenai perbuatan yang telah mereka lakukan, kelak nanti kau akan tahu keadaanku dan keadaan kau'."
Rasulullah SAW bersabda: "Wanita itu benar! Sesungguhnya wanita itu benar! bagaimanakah Allah akan memuliakan satu kaum yang tidak mengambil tindakan atas penindasan golongan yang kuat terhadap yang lemah?!" (Riwayat Abu Ya'la, Ibn Hibban dalam sahihnya dan Ibn Majah, hadis hasan).
Lihat pemuda ini, dalam banyak pemandangan yang dia saksikan sepanjang perjalanan yang jauh, isu kezaliman juga yang menarik perhatiannya. Ulasan Nabi SAW menegaskan betapa satu kaum tidak akan mulia jika membiarkan golongan yang kuat menindas yang lemah.
Apakah akan mulia suatu negara jika kekayaannya dibolot oleh satu pihak secara yang tidak adil, sementara yang lemah merintih di sana sini mencari kehidupan.
Apakah akan mulia jika ada penguasa yang mempunyai ratusan juta tanpa jalan yang sah, sedangkan rakyat marhaen bawahan bertarung dengan kehidupan yang payah?
Berpakat lawan kezaliman
Sebelum Nabi SAW muncul sebagai rasulullah, suatu perjanjian menentang kezaliman yang dikenali dengan Half Fudul ataupun ‘Sumpah Setia Fudul' pernah dibuat di Mekah. Ia dibuat di rumah Abdullah bin Jad'an.
Isi kandungannya untuk membela dan mengembalikan hak sesiapa yang dizalimi dalam kalangan penduduk Mekah, ataupun sesiapa yang memasuki Mekah. Ini kerana ada kalangan bangsawan Mekah yang sering menindas pihak yang lemah.
Beberapa kabilah Quraish seperti Bani Hashim, Bani ‘Abd al-Muttalib dan lain-lain turut terlibat dengan Sumpah Fudul itu. Al-Tahawi (meninggal 321H) meriwayatkan hal ini dalam Mushkil al-Athar , juga al-Baihaqi (meninggal 458H) dalam as-Sunan al-Kubra di mana Nabi SAW bersabda:
"Sesungguhnya aku telah menyaksikan satu sumpah setia di rumah Abdullah bin Jad'an yang membabitkan Bani Hashim, Zahrah, Taiyyim dan aku juga dalam kalangan mereka. Aku sukakan perjanjian itu melebihi unta merah. Jika aku diajak kepadanya semasa Islam pun, aku akan sertai. Aku tidak suka untuk tertinggal dari menyertainya sekalipun diberikan kepadaku unta merah."
Unta merah adalah lambang kemewahan kenderaan Arab ketika itu. Nabi SAW menegaskan bahawa jika perjanjian seperti itu dibuat lagi, sekalipun setelah baginda menjadi rasul, baginda tetap akan menyertainya.
Lihatlah, Islam mengiktiraf perjanjian yang dibuat oleh pihak lain, sekalipun di zaman sebelum Islam kerana isi kandungan menepati maksud ajaran Islam yang menentang kezaliman dan penindasan.
Malanglah, jika ada orang Muslim yang tidak merasa terpanggil dalam isu-isu tempatan dan antarabangsa yang membabitkan soal sokongan kita ke atas pihak yang ditindas.
Menanglah p'raya dengan adil
Ada orang bertanya saya, apakah saya menyokong BERSIH? Saya kata saya masih di UK, tapi saya sokong keadilan dan pemberian hak secara yang wajar. Saya tidak kisah siapa pun menang dalam pilihan raya, tetapi menanglah dengan cara yang adil dan saksama.
Setelah keadilan dibuat, lalu rakyat membuat pilihan memilih parti tertentu, itu adalah hak mereka. Kita mesti akur dengan kerajaan pilihan rakyat secara adil dan saksama. Saya ada ramai kawan dalam BN, juga ramai kawan dalam Pakatan Rakyat.
Saya tidak bersetuju perkara-perkara tertentu dalam di pihak BN, juga di pihak Pakatan. Tapi, saya inginkan agar apabila pilihan raya berlaku, ia berlaku dengan seadilnya, supaya saya tahu apa yang menjadi hak rakyat diberikan secara yang wajar.
Saya tidak mahu bahas soal pendaftaran undi dan seumpamanya, ambil soal media sahaja. Saya rasa tidak semua rakyat suka untuk hadir ke tempat ceramah politik. Ia bercampur positif dan negatifnya.
Namun, rakyat perlu tahu apakah idea parti-parti yang bertanding. Jika TV dan media kerajaan hanya dikuasai sepenuhnya oleh satu pihak sahaja, di manakah peluang rakyat mendengar secara saksama?
Jika di Barat, bahkan di banyak negara demokrasi yang lain, ada saluran-saluran swasta yang membolehkan setiap pihak menyatakan pendapat dan pandangan mereka untuk didengari oleh rakyat, ruang itu tiada dalam negara kita.
Setelah rakyat dengar dan nilai, biarlah mereka membuat keputusan mereka. Seperti mana bukan semua hujah kerajaan itu munasabah, demikian juga bukan semua hujah pembangkang itu boleh diterima.
Agama mengajar kita menjadi golongan ulul albab , iaitu mereka yang mempunyai akal yang matang, yang membuat pertimbangan setelah mendengar pelbagai hujah.
Firman Allah: (maksudnya) "...oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu . (Iaitu) mereka yang berusaha mendengar perkataan (yang sampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab" (al-Zumar: 17-18).
Seseorang yang menuntut keadilan perjalanan sistem kerajaan, bukan semestinya dia penyokong pembangkang, tetapi itu tuntutan naluri insani yang inginkan sesuatu berjalan dengan cara yang betul.
Jika kita pergi menonton bola sepak, lalu dibuat peraturan yang berat sebelah, lebih baik kita tidak menonton. Ataupun, kita cadang berikan kemenangan percuma sahaja.
Sekalipun kita mungkin tidak sokong pihak yang dianayai, tetapi tidak juga tidak boleh sokong ketidakadilan. Ini fitrah manusia normal. Melainkan kita ini songsang fitrah.
Justeru, menjadi hak rakyat untuk menyatakan perasaan mereka. Alangkah baik jika BERSIH itu tidak dijadikan acara parti politik, tetapi acara yang rentas parti politik. Hadir bukan tanda menyokong pembangkang, tapi menyokong pembaikian sistem.
Namun, saya menasihati mereka yang ingin hadir agar membetulkan niat. Sayangkan negara anda. Bagi yang Muslim, berakhlaklah dengan akhlak Islam. Bagi yang bukan Muslim berpegang dengan nilai-nilai baik yang anda yakini.
Jangan rosakkan harta negara, jangan memaki hamun orang lain, jangan mencerca tetapi laungkan slogan keadilan dan hak yang anda inginkan. Berhimpun dengan penuh sopan dan adab, tetapi dengan penuh semangat. Semoga Allah merahmati anda dan negara kita!