Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) digantung pengajian selama 66 hari dan didenda RM100 kerana didakwa menganjurkan program "memudaratkan kepentingan" universiti bersama kumpulan yang didakwa propembangkang.

NONE Mohd Izuwan Zaini, 25, berkata beliau didakwa menganjurkan program itu pada 13 Januari di sebuah restoran di Kangar yang melibatkan gabungan 14 kumpulan mahasiswa daripada Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Gabungan yang menurutnya ditubuhkan bagi membangkitkan kesedaran berhubung kepentingan keluar mengundi dalam pilihan raya itu dikenali sebagai 'Watch 13'.

Pelajar tahun akhir pengajian mekatronik itu juga dikenakan amaran keras oleh UniMAP.

Pihak juga universiti menuduh tindakan Mohd Izuwan mendatangkan kesan buruk secara langsung kepada kampus berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan, program itu - yang sebenarnya sidang media Watch 13 - panas dan bertukar menjadi perdebatan antara mahasiswa dan pihak yang tidak berpuas hati dengan penubuhan gabungan itu.

Lepaskan belon ISA, rasuah, pengundi hantu

Kumpulan itu mendakwa Watch 13 mendokong agenda pembangkang. Kumpulan mahasiswa juga selepas itu dilaporkan melepaskan belon yang ditulis dengan perkataan berkaitan isu politik seperti rasuah, ISA, pengundi hantu dan miskin tegar.

Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, Mohd Izuwan bagaimanapun mempersoalkan hukuman itu kerana mendakwa tidak pernah menganjurkannya dan hanya hadir sebagai pemerhati.

NONE "Saya pergi sebagai pemerhati, bukan penganjur. Walaupun sebagai pemerhati di mana salahnya program itu," katanya.

Mohd Izuwan juga menyuarakan perasaan tidak puas hati dengan prosiding pendakwaan apabila beliau tidak dibenarkan membawa saksi sendiri dan tidak dibenarkan menyoal saksi pendakwa.

Sementara itu, Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Pemuda PAS dalam kenyataan turut menyatakan perasaan terkejut dengan hukuman dan pengendalian prosiding itu yang didakwa bertentangan dengan prinsip asas undang-undang, kebebasan dan hak asasi.

"(Ini) kerana hak untuk menyoal balas saksi atau hak memanggil saksi pembelaan adalah hak asasi orang yang dituduh, dan merupakan peraturan asas dalam sesuatu perbicaraan sama ada di mahkamah atau tribunal tatatertib di universiti," kata pengarahnya Ahmad Zamri As'ad Khuzaimi.

Beliau juga menawarkan khidmat guaman kepada Mohd Izuwan sekiranya mahu memfailkan saman terhadap UniMAP.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS