Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa golongan kaya perlu membayar semula pinjaman melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) walau Pakatan Rakyat komited untuk memansuhkan bayaran itu.
Anwar berkata, Pakatan akan berusaha untuk menyediakan rangka kerja untuk memberi pendidikan percuma dan memansuhkan pinjaman semula itu.
Namun langkah itu lebih banyak melibatkan golongan miskin dan juga yang berpendapatan sederhana yang tidak mampu membiaya pendidikan selain melalui pinjaman, katanya.
Katanya lagi, peluang pendidikan bukanlah satu masalah kepada golongan kaya dan maha kaya, katanya lagi,
"Saya dengar, anak lelaki bos AirAsia (Tan Sri) Tony Fernandes pun memohon (pinjaman PTPTN), ini tak munasabah," katanya dengan berjenaka dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat majlis pimpinan Pakatan Rakyat hari ini.