Kumpulan pelajar yang menduduki kawasan Dataran Merdeka membuat keputusan untuk tidak mengganggu konsert diraja yang dirancang untuk diadakan di lokasi tersebut pada Sabtu.
Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Haziq Abdul Aziz berkata, pelajar berkenaan memutuskan demikian untuk mengelak daripada dikatakan tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, SMM mungkin akan memindahkan lokasi perkhemahan mereka ke kawasan yang jauh sedikit dan kembali ke lokasi asal selepas konsert tersebut.
Siswa diperhati polis, DBKL
Sementara itu, setiausaha media Ahmad Shukri Kamarudin berkata kira-kira 30 orang anggota polis dan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur hadir di lokasi perkhemahan mereka pada kira-kira jam 3 pagi tadi.
Katanya, kumpulan pihak berkuasa itu hanya memerhatikan kegiatan kumpulan pelajar berkenaan, namun tiada rampasan atau tindakan kekerasan dilakukan ke atas mereka.
Tambahnya, pelajar berkenaan bagaimanapun akan terus berkhemah di Dataran Merdeka sehingga perhimpunan BERSIH 3.0 diadakan pada 28 April.
Katanya lagi, kartunis popular Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwar Ulhaque akan hadir malam ini untuk memberi sokongan kepada siswa yang berkhemah di Dataran Merdeka.
Kunjungan bertali arus
Siswa berkenaan menerima kunjungan bertali arus, termasuk oleh pemimpin politik seperti bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin, timbalan presiden PAS Mohamad Sabu dan pengerusi bersama BERSIH 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan.
Seorang lagi pengerusi bersama BERSIH 2.0 Datuk A Samad Said turut hadir untuk mengajar kelas puisi percuma kepada pelajar berkenaan semalam.
Pensyarah undang-undang Universiti Malaya Azmi Sharom juga hadir untuk memberi kuliah percuma berhubung Perkara 153 yang menarik kehadiran kira-kira 100 orang.