Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri tolak dakwaan negara sudah bankrap
Diterbitkan:  Apr 17, 2012 4:35 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

Masyarakat luar bandar tidak terpinggir dalam arus pembangunan malah mereka sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan BN, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata mereka akan terus berpeluang menikmati pelbagai kemudahan selagi BN menerajui kerajaan.

Berucap pada program Mesra Rakyat Parlimen Padang Besar anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Perlis di Taman Santan Dua dekat Kangar pada Selasa, beliau berkata, BN telah terbukti berupaya membela rakyat melalui pelbagai program dan kegiatan.

Shafie yang juga naib presiden Umno menolak dakwaan pakatan pembangkang bahawa negara ini telah bankrap sedangkan menurutnya, kerajaan terus mencatat pertumbuhan ekonomi sehingga mampu memperkenalkan pelbagai jenis bantuan untuk rakyat.

Antaranya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang mana kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM2.6 bilion untuk membantu 5.2 juta isi rumah yang berpendapatan kurang RM3,000 dengan setiap isi rumah menerima RM500, katanya.

Selain itu, katanya kerajaan turut memberikan bantuan baucar buku dan mengadakan skim Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) bagi meringankan beban hidup rakyat.

Menurutnya, pakatan pembangkang hanya memperjuangkan politik sempit mereka dan membuat janji-janji untuk memikat sokongan rakyat dan bukan berjuang untuk mewujudkan negara yang cemerlang.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Shafie mengumumkan peruntukan RM450,000 bagi pembinaan dewan orang ramai di Santan.

Sebelum itu, beliau turut meninjau lapan buah rumah yang daif di sekitar kawasan Santan dan berjanji peruntukan akan dikeluarkan secepat mungkin bagi membaiki rumah-rumah berkenaan.

Turut hadir Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

- Bernama

ADS