Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Salahuddin: Kedah tumbang jika gagal tangani krisis

WAWANCARA Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah pimpinan Menteri Besar dari PAS Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan tumbang sekiranya parti itu gagal menyelesaikan krisis kepimpinan yang memuncak Februari lalu, tegas Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.

" NONE Itu keyakinan kita. Memang pada waktu itu saya tidak boleh menafikan, bahawa sokongan masyarakat atas pagar dan juga orang Melayu melihatnya dengan agak resah.

"Orang-orang bukan Islam juga melihat, tidak yakin kepada kerajaan negeri. Itu saya lihat serius sewaktu krisis itu berlaku," katanya.

Bercakap dalam temubual dengan Malaysiakini , ahli parlimen Kubang Kerian itu turut mengakui "teruja dan menerima tekanan yang berat" untuk menyelesaikan kemelut kepimpinan ekoran dua exco Kedah enggan mengangkat semula sumpah semula ke jawatan itu.

Salahuddin mengulas berhubung hasil dapatan sebuah badan penyelidik bebas yang mendakwa tahap sokongan pengundi Melayu berada pada tahap 50-50 sewaktu krisis itu berlangsung dan masyarakat Cina kurang yakin dengan Azizan ekoran kegagalan DAP mendapat kerusi tambahan.

Dilaporkan dua exco itu, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh enggan mengangkat semula sumpah sebagai exco kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan Azizan, menyebabkan PAS terpaksa mengadakan pertemuan lebih lima jam bagi menyelesaikan masalah itu di Kedah bulan lalu.

Selesai? Ambil masa jawab

Akhirnya kepimpinan PAS memutuskan supaya kedua-dua timbalan pesuruhjaya PAS negeri itu menerima semula jawatan tersebut. Pada 5 April lalu, mereka mengangkat sumpah semula sebagai exco tetapi portfolio mereka dikecilkan.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, selepas parti itu berjaya menyelesaikan krisis berkenaan, reaksi terhadap keputusan itu "amat baik dan sokongan kembali kepada landasannya semula".

NONE "Jadi saya teruja. Saya rasa senario telah berubah. Cuma kita jangan pandang ringan bahawa inisiatif yang kita buat adalah untuk meyakinkan kembali mereka. Dan yang paling penting, semua pihak yang bertelagah, memegang jawatan kembali," katanya.

Didesak sama ada PAS berjaya menyelesaikan konflik itu, Salahudin kelihatan mengambil masa untuk menjawabnya.

"Saya rasa... Ia selesai. Itu keyakinan kita. Kalau ada perkara berbangkit, kita akan bincang balik. Itu cara dan kaedah (yang diamalkan)," katanya.

Diminta mengulas bukti penerimaan rakyat negeri itu ketika ini, Salahuddin berkata hasil turun ke masyarakat di negeri itu, "mereka sudah menerima" penyelesaian krisis itu sehingga ada yang mengucapkan terima kasih kepadanya.

'Kofi Anan PAS'

Mengulas tanggapan umum yang mendakwa penyelesaian yang dibuat untuk meredakan krisis daripada berlarutan, Salahuddin berkata perkara itu tidak timbul perkara tersebut jika semua pihak bersikap jujur dan percaya kepada hakikat perjuangan.

"Kita orang parti, kita orang perjuangan, kalau kita rasa, apa yang kita buat itu baik sama ada kita terpaksa mengalah, dan terpaksa menerima keputusan itu. Disiplin itu ada dalam jemaah.

"Apa jua keputusan yang dibuat oleh parti atau mana-mana parti dan organisasi, yang penting adalah (akur) keputusan pimpinan. Itu kunci untuk mencapai segala penyelesaian," katanya.

Salahuddin - yang digelar 'Kofi Annan' di kalangan pimpinan PAS ekoraan 'misi damainya' itu - berkata tugas orang tengah bagi menyelesaikan konflik dalam PAS khususnya di kedah, merupakan pengalaman kali keduanya.

Sebelum ini, beliau diminta menjadi orang tengah untuk bertemu dengan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat yang mencadangkan supaya parti itu mengadakan Muktamar Agung Khas bagi membincangkan 'dua tiga kerat pemimpin' yang bermasalah dalam parti.

Akhirnya muktamar itu dibatalkan dan digantikan dengan satu seminar khas di Taman Melawar, Gombak pada 2009.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS