Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gegaran dirasai di pantai barat
Diterbitkan:  Apr 11, 2012 5:19 PM
Dikemaskini: 5:37 PM

Amaran tsunami dikeluarkan selepas satu gempa bumi kuat magnitud 8.6 melanda perairan utara Sumatra petang ini, menurut jabatan kajian geologi Amerika Syarikat (USGS),

Pusat gempa bumi pada jam 4.38 petang itu dikesan pada kedudukan 431km barat daya Banda Aceh, Indonesia dan 962km di barat Kuala Lumpur.

Kawasan gempa itu dalam lingkungan kawasan gempa sama yang berlaku pada 26 Disember 2004 yang mengorbankan kira-kira 170,000 nyawa di Sumatra akibat tsunami yang melanda selepas gempa berkenaan.

Gempa itu juga mengorbankan kira-kira 230,000 orang di 13 negara sekitar Laut Hindi termasuk Thailand, Sri Lanka dan India.

Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini mengeluarkan amaran kepada orang ramai menjauhi kawasan pantai di Kedah, Perlis, Langkawi, Pulau Pinang dan Perak yang berpotensi berlakunya tsunami.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian tersebut dan berkata gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Perak.

Gegaran dirasai kira-kira pukul 4.50 petang.

Beliau berkata pihak bomba dari lima balai di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur bergegas ke beberapa kawasan yang merasai gegaran itu selepas menerima  maklumat dari orang ramai.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan kira-kira 4.47 petang mengenai gegaran yang dirasai di beberapa tempat seperti Ampang dan Jalan Tun Razak.

Dalam pada itu, warga kerja di bangunan Bernama turut merasai gegaran yang berlaku selama kira-kira 10 minit.

Di Kangar, gegaran kecil turut dirasai di beberapa lokasi di Perlis, antaranya di Flat Seri Sena di Kampung Bakau yang menyebabkan penghuni flet 12 tingkat itu meninggalkan kediaman mereka dan berkumpul di tempat letak kereta bangunan itu.

Petugas di Bangunan KWSP yang turut menempatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan turut merasai gegaran kecil selama beberapa minit.

Gegaran turut dirasai penduduk di Kampung Behor Lateh dan kawasan Kuala Perlis.

Ribuan penduduk di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat keluar rumah menyelamatkan diri setelah gempa bumi berukuran 8.6 pada skala Richter berlaku di Simeulue, Aceh diikuti beberapa gempa susulan.

Data oleh Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia mencatatkan beberapa gempa susulan berlaku setelah gempa kuat yang pada awalnya dilaporkan berukuran 8.9 skala Richter pada pukul 3.38 petang waktu tempatan itu namun kekuatan gempa susulan semakin menurun.

BMKG segera mengeluarkan amaran tsunami sejurus gempa bumi kuat pertama yang berlaku pada kedalaman 10 km di Simeulue, Aceh itu diikuti gempa susulan berukuran 8.5 pada skala Richter beberapa saat kemudian.

Selain penduduk Aceh yang ramai berpindah ke pusat pemindahan, sejumlah penduduk di Balige, daerah Toba Samosir, Sumatera Utara juga bertempiaran keluar rumah apabila merasai gegaran kuat pada kira-kira pukul 5 petang kerana khuatir kejadian itu akan menimbulkan bencana.

Di Padang, Sumatera Barat, ribuan penduduk bandar itu berkumpul di kawasan Bypass zon hijau untuk berlindung daripada gelombang tsunami, setelah siren amaran tsunami berbunyi lantang di pusat bandar.

Penduduk pergi ke pusat pemindahan di zon hijau dengan menggunakan kenderaan selain berjalan kaki.

Kesesakan lalu lintas dari arah pusat bandar menuju kawasan jalan Bypass Padang, hingga pukul 6 petang masih berlaku kerana kepadatan kenderaan yang terus meningkat sehingga memaksa sebahagian pelajar untuk berjalan kaki ketika pulang dari sekolah.

Sementara itu, di Bengkulu, Ketua Stesen BMKG Kepahiang Dadang Permana berkata peringatan tsunami yang dikeluarkan di Bengkulu akibat gempa susulan yang melanda wilayah Aceh pada pukul 5.43 petang, dilanjutkan hingga pukul 7.15 malam.

BMKG turut mencatat gempa susulan pada pukul 4.28 petang yang berukuran 6.5 pada skala Richter, kira-kira 510 km ke Barat Daya daerah Simeulue, Aceh dengan kedalaman 42 km.

Gempa susulan berukuran 6.1 skala Richter juga dicatat berlaku pada pukul 4.48 petang pada kedalaman 10 km di 630 km ke barat daya Simeulue, Aceh diikuti dengan dua lagi gempa iaitu pada 5.09 petang dengan kekuatan 6.1 dan dengan kekuatan 5.7 skala Richter pada pukul 5.21 petang.

BMKG telah sekali lagi mengeluarkan amaran tsunami untuk wilayah Bengkulu, Lampung, Aceh, Sumatera Barat dan Sumatera Utara setelah gempa bumi berkekuatan 8.8 skala Richter kembali menggegarkan Aceh pada pukul 5.43 petang.

Di Jakarta, pakar tsunami Dr Subandono Diposaptono berkata penduduk yang tinggal di pesisir pantai di Aceh boleh kembali ke tempat tinggal masing-masing jika dua jam setelah berlaku gempa Aceh yang berkuatan 8.5 skala Richter itu tidak menyebabkan tsunami.

"Gempa ini berlaku di sekitar jarak 370 km dari pantai Aceh barat dengan kedalaman 10 km, jadi dianggarkan kelajuan tsunami 400-500 km sejam dan memerlukan masa paling lama satu jam dari tempat berlakunya gempa," kata Dr Subandoro.

 - Agensi


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS