MP Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar hari ini mempertikaikan dakwaan pemindahan wang Tabung Haji sebanyak RM300,000 ke akaun peribadi ketua pegawai eksekutif badan tersebut, Ismee Ismail.
Mahfuz berkata, kerajaan dan tabung haji perlu menjelaskan dakwaan tersebut ekoran jawapan yang diberikan timbalan menteri kewangan Datuk Donald Lim di Dewan Rakyat hari ini.
Mahfuz berkata, Donald sekadar menjawab bahawa langkah itu dibuat mengikut prosedur tetapi tidak menjelaskan sebab pemindahan wang itu dilakukan.
"Duit itu untuk apa"," soalnya lagi dalam sidang media di bangunan parlimen hari ini.
Duit berkenaan mungkin untuk bayaran gaji Ismee "berjumlah RM85,000 sebulan", kata Mahfuz lagi yang turut mengedarkan dokumen berhubung dakwaan tersebut.
Dokumen yang diedarkannya itu antara lainnya menunjukkan arahan terperinci ketua pegawai kewangan Tabung Haji kepada pengurus banknya supaya memindahkan wang ke akaun peribadi Ismee.