Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kerajaan Selangor mengeluarkan notis amaran kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) kerana didakwa gagal membekalkan air terawat yang mencukupi di negeri itu.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mendakwa, kegagalan itu menyebabkan projek yang dikendalikan 79 pemaju di negeri itu terjejas.

"Tindakan SYABAS ini jelas sekali bertentangan dengan terma yang telah dipersetujui oleh perjanjian konsesi yang ditandatangani kerajaan pusat, kerajaan negeri dan syarikat konsesi pada 15 Disember," kata dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat exco negeri hari ini.

Menteri besar juga mendakwa perbuatan SYABAS "seolah-olah mahu menggagalkan kemajuan ekonomi di Selangor".

Sehubungan itu, Khalid menegaskan kerajaan negeri berhak menamatkan perjanjian konsesi dan mengambil alih fungsi SYABAS jika masalah ini gagal diatasi.

Tambahnya, notis itu dihantar oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Noordin Sulaiman kepada Ketua Pegawai Eksekutif SYABAS pada 29 Mac lalu.

Turut hadir dalam sidang media itu exco kerajaan tempatan Ronnie Liu dan exco pendidikan Halimah Ali.

Sementara itu, menyentuh masalah banjir besar di Klang baru-baru ini, Ronnie berkata kerajaan pusat mesti berhenti menyalahkan kerajaan negeri dalam isu banjir.

Beliau sebaliknya mendakwa, kejadian banjir itu berpunca daripada tindakan kerajaan pusat yang tidak menyalurkan peruntukan kementerian kepada Jabatan Parit dan Saliran (JPS) negeri.

Sebagai contoh, tambahnya, JPS Selangor pernah meminta peruntukan RM1 bilion untuk rancangan lima tahun tetapi tidak dilayan.

"Semua permohonan di Selangor, termasuk di Klang, satu pun tak dapat kelulusan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS