Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ADUN BN Kuala Nerang umum dirinya muflis
Diterbitkan:  Apr 4, 2012 6:19 AM
Dikemaskini: Apr 4, 2012 9:28 AM

Anggota Dewan Undangan Negeri Kedah kawasan Kuala Nerang Datuk Syed Sobri Syed Hashim malam tadi mengumumkan dirinya muflis setelah gagal membayar baki hutangnya dengan bank tempatan berjumlah RM8 juta.

    

Naib ketua Umno bahagian Padang Terap itu berkata hutang tersebut adalah sebahagian daripada pinjaman RM50 juta yang diambil pada 1998 untuk membolehkan syarikatnya, Kulim Enterprise Sdn Bhd, disenaraikan di papan kedua Bursa Saham Malaysia pada masa itu.

    

Bagaimanapun, negara mengalami kegawatan ekonomi ketika itu dan syarikatnya gagal disenaraikan, menyebabkan beliau terpaksa menanggung hutang berkenaan, Syed Sobri pada majlis perjumpaan dengan kira-kira 300 anggota dan pemimpin akar umbi Umno bahagian itu di rumahnya malam tadi bagi menjelaskan kedudukan sebenar.

    

Beliau berkata pada Disember lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengisytiharkannya sebagai muflis.

Syed Sobri berkata pemimpin Umno telah dimaklumkan mengenai perkara itu, begitu juga dengan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak, yang ditemuinya semalam.

Beliau berkata Azizan tetap menyuruhnya hadir pada persidangan Dewan Negeri Kedah yang akan bermula 17 April ini.

    

Bagaimanapun, Syed Sobri tidak akan berbuat demikian kerana berdasarkan undang-undang negeri, beliau telah hilang kelayakan sebagai wakil rakyat berikutan statusnya sebagai muflis.  

    

Perkara 47(1)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan negeri Kedah menyatakan seorang anggota Dewan Negeri hilang kelayakan jika ia seorang muflis yang belum dilepaskan.

    

Dalam pilihan raya Umum 2008, Syed Sobri yang bertanding buat pertama kali telah menewaskan calon PAS Zawawi Ahmad dengan majoriti 805 undi.

Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail berkata pihaknya perlu menunggu laporan daripada Jabatan Insolvensi mengenai status muflis Syed Sobri sebelum mengambil tindakan lanjut.   

   

"Saya tidak boleh beri sebarang komen lagi kerana hanya mengetahui mengenai perkara itu (Syed Sobri muflis) daripada laporan media sahaja," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

   

Katanya surat untuk mendapatkan laporan lengkap berhubung status Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang itu telah dihantar kepada Jabatan

Insolvensi hari ini.

   

Beliau berkata pihaknya juga masih belum mendapat sebarang makluman atau hitam putih daripada ADUN berkenaan.

   

Katanya Syed Sobri perlu berjumpa dengan beliau dan memaklumkan bahawa dirinya telah muflis bagi membolehkan tindakan sepatutnya diambil.

   

Abdul Isa berkata, sekiranya sah telah muflis sejak Disember lepas, Syed Sobri perlu memulangkan elaun wakil rakyat yang diterimanya bagi Januari, Februari dan Mac tahun ini.

   

Beliau berkata ini kerana menurut peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri, setiap wakil rakyat yang diisytiharkan muflis akan lucut jawatan secara automatik.

   

Sementara itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata Syed Sobri telah memaklumkan mengenai perkara itu kepada beliau dalam satu pertemuan  semalam.

"Dia ada jumpa saya semalam (Selasa) dan ceritakan masalah dengan pihak insolvensi dan beritahu dia tidak akan hadir sidang dewan nanti.     "Saya telah arahkan setiausaha majlis mesyuarat kerajaan negeri hubungi jabatan insolvensi untuk pastikan status dia," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco hari ini. 

- Bernama

ADS