Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wakil PSC pembangkang tolak format laporan
Diterbitkan:  Apr 3, 2012 5:39 PM
Dikemaskini: 10:18 AM

Jawatankuasa terpilih parlimen (PSC) untuk menambahbaik pilihan raya menjalankan undi belah bahagi di antara sembilan orang anggotanya untuk memutuskan isu kontroversi, termasuk berhubung format laporannya.

Tiga orang MP pembangkang  dalam jawatankuasa itu daripada PKR (Gombak), DAP (Rasah) dan PAS (Kuala Krai) membantah format laporan tersebut, berbanding enam ahli lain yang bersetuju.

Wakil pembangkang itu memberi alasan, majoriti anggota PSC menolak cadangan mereka untuk memasukkan Laporan Minoriti berhubung daftar pemilih yang gagal dibersihkan oleh SPR, menurut laporan PSC yang dikeluarkan hari ini.

Selain itu, undian belah bahagi juga dilakukan untuk wakil pembangkang tersebut supaya petugas media dan SPR diberi kebenaran untuk mengudi awal.

Majoriti ahli jawatankuasa menolak cadangan berkenaan, kecuali tiga MP pembangkang tersebut.

Cadangan untuk meminda had umur kelayakan untuk menjadi pemilih kepada 20 tahun pula diluluskan dengan bantahan tiga MP pembangkang tersebut.

Laporan itu merekodkan bahawa MP pembangkang berkenaan mencadangkan supaya had umum layak mengundi itu diturunkan kepada 18 tahun dan pendaftaran itu dibuat secara automatik.

Undian bagi cadangan untuk melanjutkan tempoh minimum kempen pilihan raya selama 10 hari juga diluluskan dengan sokongan majoriti ahli jawatankuasa.

Tiga wakil pembangkang tersebut menolak cadangan berkenaan dan mencadangkan supaya mencadangkan tempoh  itu dilanjutkan sehingga 21 hari untuk membolehkan warganegara Malaysia di luar negara mengundi.

Jawatankuasa itu juga meluluskan cadangan supaya mengkaji usaha untuk mendaftarkan pengundi secara automatik, dengan sokongan majoriti ahli jawatankuasa.

Wakil pembangkang tersebut menolak cadangan berkenaan kerana mahu langkah itu dilaksanakan segera.

Ahli parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong direkodkan tidak hadir untuk kesemua undian belah bahagi tersebut, kecuali untuk undian berhubung format laporan PSC.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS