Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tinjauan: Penyenaraian FGVH beri keuntungan
Diterbitkan:  Apr 1, 2012 6:11 PM
Dikemaskini: 10:21 AM

Warga peneroka semakin yakin dengan langkah penyenaraian Felda Global Holdings Ventures (FGHV) di Bursa Malaysia yang dilihat bakal membawa perubahan dan keuntungan besar kepada mereka.

Beberapa peneroka ketika ditemui Bernama di Bera berkata pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada bulan Mei depan, yang disifatkan beliau sebagai "durian runtuh" sempena penyenaraian FGVH, juga amat dinanti-nantikan.

Peneroka di Felda Triang, Ahmad Wok, 62, berkata penerangan Perdana Menteri ketika majlis mesra bersama warga peneroka di felda itu semalam berhubung penyenaraian FGVH, jelas menunjukkan langkah itu bakal memberi banyak manfaat kepada mereka.

"Apa yang berlaku ketika ini ialah terdapat pihak tertentu cuba mengelirukan peneroka, apa yang jelas, pihak pembangkang terutamanya, hanya tahu mempolitikkan isu berkenaan sahaja.

"Usaha pihak pembangkang adalah mereka tidak mahu melihat kejayaan FGVH kerana ia boleh menghakiskan sokongan warga Felda kepada mereka pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti," katanya ketika ditemui hari ini.

Bagi generasi kedua peneroka, Iskandar Zulkarnain Mohd Zaki, 44, tindakan kerajaan menyenaraikan FGVH perlu dilihat secara positif terutama berkaitan kehidupan dan masa depan warga Felda sendiri.

Beliau berkata peneroka tidak lagi boleh bergantung kepada hasil kelapa sawit dan getah semata-mata untuk satu tempoh yang panjang kerana pasaran komoditi itu akan dikuasai serta ditentukan negara lain seperti Indonesia, Thailand, Myanmar dan Vietnam.

"Pada ketika itu, negara berkenaan yang akan menjadi kuasa yang boleh menentukan harga pasaran sawit dan getah kerana mereka pemain utama kerana mempunyai ladang yang cukup luas.

"Jadi usaha yang dilakukan oleh kerajaan menyenaraikan FGVH itu adalah untuk melindungi kepentingan warga Felda supaya mereka boleh terus hidup selesa walaupun harga komoditi sawit dan getah tidak kompetitif di masa depan," katanya.

Beliau yakin Perdana Menteri tidak akan memusnahkan segala usaha yang dibangunkan Allahyarham bapanya, Tun Abdul Razak sebelum ini, malah akan menjadikan Felda sebuah konglomerat berjaya seperti Petronas.

Seorang lagi peneroka, Mokhtar Mohamad, 62, dari Felda Rentam berkata penerangan yang disampaikan Perdana Menteri semalam sangat jelas.

"Ramai juga yang keliru sebelum ini, apapun kami berasa lega kerana mendengar penerangan dari mulut Datuk Seri Najib sendiri bahawa tidak seincipun tanah kami akan tergadai seperti yang didakwa oleh pembangkang, manakala pelbagai insentif yang diberikan sebelum ini seperti bonus raya dan sebagainya, akan teruskan.

"Para peneroka sebenarnya cukup yakin dengan usaha kerajaan, tetapi kerana mereka sebelum ini terlalu banyak disogok dengan fakta yang tidak betul oleh pembangkang menyebabkan ada segelintir daripada mereka menjadi keliru," katanya.

Pada majlis yang dihadiri lebih 10,000 peneroka semalam, Perdana Menteri juga berkata pengumuman pada Mei depan bakal membuatkan peneroka Felda "tersandar, rebah dalam kejutan".

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS