Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno P Pinang terima jaminan bina masjid
Diterbitkan:  Apr 1, 2012 4:07 PM
Dikemaskini: 11:20 AM

Umno Pulau Pinang menyambut baik jaminan Ivory Properties Group Berhad (IPGB) bahawa syarikat itu akan membina kemudahan awam seperti masjid, sekolah dan rumah ibadat lain di atas ‘tanah emas’ Bayan Mutiara, Bayan Baru dekat Batu Kawan.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Zainal Abidin Osman berkata jaminan itu menunjukkan perjuangan Umno supaya kemudahan awam terutama masjid dan sekolah seperti yang dirancang dalam pelan pembangunan yang ditetapkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) di kawasan itu telah berjaya.

"Umno mendesak demi kepentingan rakyat dan bila mereka (IPGB) telah menyatakan persetujuan untuk membina masjid dan sekolah di situ, ini menunjukkan perjuangan kita berjaya.

"Tetapi Umno negeri mahu Ketua Menteri Lim Guan Eng memberi jaminan masjid dan sekolah yang akan dibina itu dibangunkan atas tapak asal seperti pelan awal," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Eksekutif IPGB Datuk Seri Nazir Ariff bahawa syarikat akan mematuhi garis panduan, peraturan perancangan dan pembangunan seperti ditetapkan MPPP di Bayan Mutiara dengan membina kemudahan awam seperti masjid, sekolah dan rumah ibadat lain.

Minggu lepas Pemuda Umno negeri mendedahkan tapak masjid, sekolah, balai polis, kompleks gerai pusat penjaja dan pusat komuniti, yang sudahpun diberi kebenaran merancang oleh MPPP pada 2006, dijual oleh kerajaan negeri.

Tapak itu adalah antara kawasan termasuk dalam ‘tanah emas’ Bayan Mutiara yang dijual kepada pemaju swasta pada harga RM1.07 bilion bagi membangunkan Penang World City (PWC) dengan nilai pelaburan sebanyak RM10 bilion.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS