FOKUS ISA "Pagi buta, kira-kira 2 pagi. Saya sedang tidur sebelum kami terdengar bunyi kuat di pagar," kata wartawan kanan Nuraina Samad, sambil merenung jauh, seolah kembali kepada zaman anak kampus 20 tahun lalu.
Dengan tanda tanya, abang yang tuanya keluar dan mendapati anggota polis Cawangan Khas yang mahu masuk dan menggeledah bilik bapanya.
"Saya masih ingat, seorang daripada mereka mengambil buku karangan (pemenang hadiah nobel sastera) Pearl S Buck. Saya masih ingat, ketika itu saya berfikir-fikir, 'kenapa dia ambil buku itu?'" kata editor pengurusan di New Straits Times yang pemalu dengan kamera itu.
Selama dua jam itu - masa terasa amat panjang - lelaki polis itu berkata, bapanya A Samad Ismail, bekas timbalan ketua pengarang New Straits Times ditahan bawah akta ISA.
Hanya dua bulan selepas itu barulah Nuraina mendapat peluang menemui bapanya lagi, tetapi hanya di kaca televisyen, di tingkat 13 fakulti komunikasi Institut Teknologi Mara (ITM), dalam bilik yang sepatutnya untuk kuliah malam.
"Inilah manusia bernama Samad! Saya sangat marah, kenapa mereka melayan Bapak begitu. Dan apabila Bapak bercakap... dia tak biasa bercakap begitu," kata Nuraina.
Ia antara dua pengakuan yang disiarkan di kaca televisyen yang didakwa dipaksa terhadapnya sepanjang lima tahun ditahan bawah ISA.
Tetapi, mengingat semula memori luka itu, Nuraina mula menulis pada 2007, termasuk situasi dalam bilik kuliah ITM di mana beliau melulu keluar kerana marah dengan menteri dalam negeri ketika itu Tan Sri Ghazalie Shafie ( kiri ).
Dalam coretan yang sama, masih segar dalam ingatan ketika beliau dipanggil anak komunis di kampus, gelaran yang amat menimbulkan kemarahannya.
"Mereka juga akan mengggelar Lalin dan Nina dengan begitu juga? Azah dan Kamal?" tulisnya lagi, merujuk kepada adik beradiknya yang lain.
Wawancara ini sebahagian daripada fokus Malaysiakini tentang akta ISA yang akan dimansuhkan dan dijangka dibentangkan di Parlimen dalam sesi ini.