Pihak polis mesti mengambil inisiatif untuk menyiasat dakwaan yang dibangkitkan berhubung skandal "Copgate", yang telah mencemar institusi yang bertanggungjawab menegakkan keadilan.
Pengerusi Yayasan Penyayang Sosial, Tan Sri Robert Phang (kanan)
berkata Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar perlu menyambut gesaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishammuddin Tun Hussein supaya menyediakan bukti terhadap tuduhan itu, sebagai satu cabaran dan memulakan siasatan.
Phang juga mencadangkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID), Datuk Syed Ismail Syed Azizan - yang disifatkannya sebagai seorang yang bebas - mengetuai siasatan tersebut kerana beliau dilihat sebagai seorang yang tidak akan diganggu oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, yang dikaitkan dalam skanda "Copgate".
Menyifatkan Syed Ismail sebagai orang yang layak melaksanakan tugas tersebut, Phang berkata, pengarah CCID itu juga perlu diberi pujian kerana mengumumkan perakuan polis supaya National Feedlot Corporation didakwa kerana skandal "Cowgate".
Phang menyifatkan pengumuman Syed Ismail (kiri) itu sebagai satu tindakan yang amat berani dan bijak supaya tidak ada percubaan untuk menutup kes tersebut dan pihak polis pula yang dipersalahkan.
"Itu benar-benar membantu memperbaiki imej polis di mata rakyat," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya lagi, Pengarah Siasatan Jenayah (CID), Datuk Bakri Zinin juga tidak harus menyertai pasukan yang menyiasat kes tersebut "bagi melindungi Bakri daripada dakwaan dikaitkan dengan Gani, kerana Bakri berasal dari Sabah".
Di samping itu, katanya, semua laporan yang dibuat oleh bekas pengarah CCID, Datuk Ramli Yusuff (kanan) terhadap Gani dan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa hendaklah disiasat memandangkan ia sudah sampai ke pengetahuan umum.
Ramli (kanan) sebelum ini menggesa ditubuhkan tribunal siasatan selepas
menuduh Gani, Musa dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) berkomplot untuk menganiaya dirinya dan pegawai-pegawainya kerana menahan seorang penjenayah, Goh Cheng Poh atau 'Tengku Goh', yang didakwa mempunyai hubungan rapat dengan Musa.
Parlimen juga menolak usul tergempar yang dibentangkan oleh Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah supaya tribunal itu ditubuhkan untuk mendengar tuduhan terhadap Gani dan Musa.
[Baca berita penuh]