Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
100 nelayan di Kedah demo minta k'jaan tambah diesel
Diterbitkan:  Mar 26, 2012 3:30 PM
Dikemaskini: 7:37 AM

Lebih 400 nelayan bot pukat tunda di Kedah mendakwa kerugian puluhan ribu ringgit kerana tidak dapat turun ke laut untuk menangkap ikan disebabkan bekalan minyak diesel subsidi terputus sejak lima hari lalu.

Kira-kira 100 nelayan mengadakan demonstrasi secara aman di jeti pendaratan ikan Kuala Kedah hari ini bagi mendesak kerajaan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) segera menambah bekalan minyak diesel bagi membolehkan nelayan dapat menjalankan aktiviti menangkap ikan seperti biasa.

Pengerusi Pertubuhan Pemilik Bot Negeri Kedah Datuk Toh Sang Chai berkata ini merupakan kali pertama bekalan minyak diesel terputus menyebabkan nelayan bimbang situasi ini berlarutan sehingga mengakibatkanmereka terus menanggung kerugian kerana tidak dapat ke laut.

    

Beliau berkata setiap nelayan mempunyai kuota minyak diesel antara 20,000 hingga 27,000 liter sebulan dan ada di antara mereka mempunyai baki kouta sekitar 11,000 liter tidak dapat menebusnya untuk digunakan.

    

"Saya telah berhubung dengan pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri dan alasan mereka bahawa kuota diesel bersubsidi kepada nelayan telah cukup sedangkan ada nelayan hanya menggunakan separuh sahaja," katanya kepada pemberita di jeti pendaratan ikan Kuala Kedah hari ini.

    

Toh berkata selain itu kuota diesel sedia ada juga tidak mencukupi iaitu sekitar 4.8 juta liter sebulan sedangkan jumlah yang diperlukan adalah 8 juta liter bagi menampung keperluan 400 bot pukat tunda.

    

Katanya mereka juga terpaksa menanggung kerugian apabila terpaksa membayar gaji dan menanggung kos makanan awak-awak tanpa melakukan sebarang pekerjaan selagi perkara ini tidak dapat diselesaikan.

    

"Kami berharap kementerian yang terlibat peka dengan nasib yang menimpa nelayan di negeri dan dapat menyelesaikan perkara tersebut dengan cepat," katanya. 

  

Pemilik bot, Tan Lui Huai, 57, berkata jika masalah ini berlarutan tanpa ada sebarang tindakan, mereka tidak dapat menyalurkan bekalan ikan kepada penduduk di negara ini.

    

Sementara itu, Pengarah LKIM Kedah, Mohamad Noor Had berkata masalah itu berlaku berikutan kekerapan nelayan turun ke laut disebabkan faktor cuaca yang baik dan menurutnya kuota yang diberikan adalah mengikut keperluan semasa.

    

Beliau menasihatkan pemilik bot supaya tidak panik kerana diesel subsidi akan dibekalkan dengan segera.

    

"Masalah ini juga tidak hanya berlaku di kawasan Kuala Kedah atau Kedah sahaja malah di beberapa negeri lain," katanya.

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS