Bagaimana seseorang menjelaskan kewajaran kematian 3,000 nyawa yang tidak berdosa? Bagi ramai orang di seluruh dunia yang menyaksikan kemusnahan pada 11 Sept, 2001, sukar bagi menjelaskan kewajaran itu.
Tetapi tidak bagi Yazid Sufaat - suami, bapa, kapten tentera yang telah bersara, usahawan dan, mengikut Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) antara penaja serangan al-Qaeda yang meranapkan Pusat Dagangan Dunia di New York.
Beliau turut menafikan dirinya seorang pengganas, walaupun menurut PBB, Yazid pada bulan Oktober 2001 pernah bertemu dengan Zacarias Mousaoui.
Zacarias pada tahun 2006 dihukum penjara seumur hidup oleh mahkamah Amerika Syarikat kerana kesalahan merancang serangan 9/11. Beliau juga dikatakan memberikan Yazid sekurang-kurangnya AS$35,000 untuk membuat persiapan berhubung serangan berkenaan.
Yazid ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semasa dalam pulang dari Afghanistan di sempadan Thailand-Malaysia, pada bulan Disember 2001. Beliau ditahan sekurang-kurangnya tujuh tahun di Kamunting, Perak. Daripada tempoh tahanan itu, lima tahun adalah kurungan di bilik seorang diri.
Yazid, 48, yang diwawancara Malaysiakini di rumahnya minggu lalu, mempunyai jawapan yang mudah berhubung pembunuhan sesama manusia - jika apa yang dilakukan mereka itu adalah salah, Allah akan memberikan petanda.
Menurut beliau, tindakan militan yang didakwa membawa nama buruk kepada Islam sebenarnya melakukan kerja "pemasaran" apabila jumlah yang memeluk Islam semakin ramai.
"Niat mereka adalah suci. Apa yang mereka lakukan adalah satu ibadat, dan mereka mungkin melakukan kesilapan di sana sini, tetapi iman mereka, kepercayaan mereka terhadap keesaan Allah adalah benar.
"Jika mereka membuat kesilapan, mungkin dalam pelaksanaan, dan insyaAllah, Allah akan mengampunkan mereka," katanya.