Ahli perniagaan Ummi Hafilda Ali merancang untuk berceramah setiap minggu di seluruh negara bagi menjelaskan isu membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, ceramah itu akan diadakan secara berterusan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) berlangsung.
"Saya akan menjelajah ke seluruh negara untuk berceramah, namun tumpuan akan diberikan kepada Pulau Pinang, Perak dan Kedah," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan ceramah di Kampung Pokok Asam, Jelutong, di Georgetown, malam semalam.
Beliau berkata, sambutan masyarakat terhadap ceramah yang diadakannya setakat ini juga amat menggalakkan kerana semakin ramai yang ingin mendengar kebenaran.
Terdahulu, dalam ceramah selama dua jam, Ummi Hafilda meminta orang Melayu bersatu dan tidak terpedaya dengan dakyah pembangkang termasuk Anwar yang banyak memutarbelitkan fakta.
Beliau turut meminta abangnya Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR agar kembali ke pangkuan ibu mereka yang semakin uzur.
- Bernama