Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ku Nan: Lembaga disiplin kumpul bukti isu Kadir
Diterbitkan:  Mar 17, 2012 3:45 PM
Dikemaskini: 9:45 AM

Lembaga Disiplin Umno sedang mengumpul maklumat dan bukti berhubung isu Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang dilapor mendakwa BN membayar pengundi kawasan Parlimen Kulim-Bandar Baharu dalam pilihan raya umum lepas.

    

Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata siasatan dibuat bagi memastikan sama ada benar atau tidak veteran Umno itu mengeluarkan kenyataan tersebut.

    

"...kalau betul kita (lembaga disiplin) akan ambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Keluarga Parlimen Putrajaya hari ini.

    

Tengku Adnan diminta mengulas mengenai laporan media kelmarin yang antara lain menyebut bekas Menteri Penerangan itu menafikan beliau mengeluarkan dakwaan tersebut.

    

Januari lepas, Abdul Kadir dilapor mendakwa BN membayar antara RM200 dan RM1,000 kepada pengundi di kawasan berkenaan agar memilih calon BN pada pilihan raya umum itu.

    

Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata selaku bekas pemimpin Umno yang masih memegang jawatan bendahari Umno bahagian Kulim-Bandar Baharu, Abdul Kadir tidak wajar mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan imej parti.

    

"Jika beliau berasakan Umno tidak betul, mengapa beliau tidak keluar parti?" kata Tengku Adnan yang juga Anggota Parlimen Putrajaya.

    

Katanya BN dan Umno tidak pernah dan tidak perlu membeli undi dalam pilihan raya umum.

    

Beliau juga menasihatkan Abdul Kadir agar berbincang dengan parti sekiranya ada perkara yang tidak disenanginya.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menasihatkan veteran Umno menggunakan saluran betul mengkritik parti

daripada membuatnya secara terbuka demi menjaga imej parti itu.

 

Beliau yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas berkata tindakan segelintir veteran parti mengkritik Umno secara terbuka perlu segera dihentikan kerana ia akan menimbulkan perbalahan antara anggota parti.

    

"Tidak salah jika veteran Umno mahu memberi pendapat terhadap pimpinan tertinggi atau parti namun ia haruslah dibuat dengan niat mahu memberi kebaikan dan bukannya merosakkan imej parti," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Seberang Perai Utara (SPU) hari ini.

    

Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan segelintir vateran Umno yang dilihat lantang mengkritik parti secara terbuka.

    

Katanya, sikap buruk seperti perang mulut dan saling menunding jari antara satu sama lain dalam Umno perlu dielakkan kerana boleh menyusah dan menimbulkan perbalahan sesama anggota seterusnya memberi gambaran buruk kepada rakyat.

    

"Kalau ada pandangan beritahu kepada pemimpin Umno dalam majlis-majlis parti atau bawa kepada jawatankuasa parti sama ada di peringkat bahagian atau cawangan atau tulis surat kepada majlis tertinggi.

    

"Jangan menghina dan mengkritik parti kita (Umno) kerana kita mahu Umno menang dalam pilihan raya akan datang. Kalau ahli sendiri memburukkan parti ia boleh merosakkan imej Umno," katanya.

    

Abdullah berkata pimpinan Umno boleh bertemu dan berbincang dengan golongan veteran parti bagi mendengar sendiri masalah dan pandangan golongan tersebut terhadap parti.

    

"Tidak salah kalau pemimpin Umno juga turun padang dan mendengar sendiri pendapat golongan veteran ini kerana kadangkala pandangan mereka boleh digunakan oleh parti," katanya.

    

Ketika mengulas konsep negara kebajikan sebagaimana diamalkan di negara maju yang memberi bantuan sepenuhnya kepada golongan tidak berkemampuan dan kurang upaya, Abdullah berkata Malaysia mempunyai pendekatan tersendiri dalam merencana pembangunan dan kebajikan rakyatnya.

    

Katanya, konsep kebajikan produktif yang dibuat kerajaan ketika ini dengan memberi bantuan kepada rakyat sebagai galakan untuk mereka menambah nilai dan pendapatan hasil bantuan yang diberikan kerajaan, dilihat lebih membantu rakyat  berdikari memajukan diri.

    

"Saya yakin kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai pendekatan tersendiri menghadapi masalah berkaitan kebajikan. Kerajaan kita sentiasa berusaha menambah program yang dirancangkan," katanya.

    

Terdahulu, Abdullah yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Keluarga dan Masyarakat (Mayang) SPU, dalam ucapannya berkata kerajaan memperuntukkan RM12 juta menyalurkan kepada 4,768 penerima bantuan JKM di daerah itu tahun ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS