Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SKMM tidak arah laksana cukai perkhidmatan 6%
Diterbitkan:  Mar 16, 2012 10:39 AM
Dikemaskini: 4:11 AM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM) menjelaskan yang ia tidak pernah mengeluarkan sebarang memo kepada pembekal perkhidmatan selular mengarahkan mereka melaksanakan cukai perkhidmatan sebanyak 6 peratus ke atas pelanggan prabayar bermula 1 Julai.

Menurut kenyataan SKMM melalui Bernama , Pengerusi suruhanjaya itu, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi yang agak marah dengan laporan tersebut berkata:

“Laporan tersebut adalah spekulasi semata-mata dan tiada arahan telah dibuat mengenai isu ini.”

Mohamed Sharil berkata, perbincangan sedang dijalankan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik agar pengguna akan terus menerima perkhidmatan komunikasi pada harga yang berpatutan.

Katanya, Sebarang tindakan mengenainya akan mengambilkira kepentingan rakyat dan SKMM akan memastikan supaya rakyat tidak dibebankan.

Sehubungan itu, pihak media dinasihatkan supaya memperbetulkan laporan tersebut dengan segera kerana ianya mengelirukan pengguna.

Semalam, Bernama melaporkan dengan memetik HLIB Research sebagai berkata bahawa kerajaan akhirnya dikatakan membenarkan syarikat telekomunikasi (telco) melepaskan cukai perkhidmatan 6 peratus kepada pelanggan prabayar.

Firma penyelidikan itu dilaporkan berkata bahawa difahamkan SKMM mengeluarkan memo kepada semua penggiat industri yang mengarahkan telco bersedia dari segi teknikal untuk melancarkannya pada 1 Julai.

Ia juga dilaporkan berkata bahawa selain insentif cukai jalur lebar yang dilaksanakan tahun lepas, ini akan meningkatkan lagi pendapatan telco dalam jangka panjang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS