Pejabat Perdana Menteri (PMO) menafikan dakwaan PKR bahawa pembiayaan untuk sambutan majlis hari jadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ditanggung oleh pejabat berkenaan.
Satu kenyataan yang dikeluarkan PMO lewat petang ini menyebut bahawa perbelanjaan yang didakwa melibatkan jumlah RM79,053 itu juga tidak betul.
Kenyataan itu menjawab dakwaan yang dibuat pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli hari ini berhubung majlis jamuan bankuet untuk sambutan hari jadi Najib pada 24 Julai lalu.
"Tuduhan bahawa perbelanjaan majlis hari jadi Perdana Menteri dibiayai oleh kerajaan atau menggunakan wang rakyat seperti yang dicanang oleh Rafizi Ramli adalah tidak benar sama sekali.
"Jumlah perbelanjaan yang disebut juga adalah tidak betul dan kos majlis itu telah dibiayai sendiri oleh Perdana Menteri," kenyataan ringkas itu dipetik.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak menjelaskan jumlah sebenar yang ditanggung perdana menteri untuk majlis berkenaan.
Terdahulu, Rafizi mendakwa bahawa kos untuk majlis sambutan hari jadi Najib itu telah dibilkan kepada PMO.
Rafizi dalam sidang medianya di lobi Parlimen hari ini turut menunjukkan tempahan majlis bankuet dari Hotel Shangri-La kepada pejabat berkenaan.
Menurut dokumen itu, majlis tersebut diadakan untuk 100 orang pada 24 Julai tahun lepas di kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana, Putrajaya.
Di majlis itu, kata Rafizi, 47 hidangan antarabangsa disajikan, termasuk daging panggang yang diimport dari New Zealand, hidangan Jepun dan masakan Barat.
Jumaat lalu, Rafizi turut membuat dakwaan serupa, tetapi melibatkan jamuan bankuet untuk satu majlis pertunangan anak perempuan Najib.
PMO juga menafikan dakwaan melibatkan kos berjumlah RM409,767 itu.