Dewan Muslimat PAS akan memberi sumbangan sebanyak RM800 sebulan kepada isteri Hoslan Hussin, imam yang dihukum penjara setahun atas kesalahan menghina mahkamah berikutan tindakannya melemparkan selipar ke arah panel hakim.
Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusuf berkata, sumbangan itu akan diberi secara berterusan selama setahun sebagai tanda simpati dan membela nasib isterinya, Noorliza Mat Isa yang menyara tujuh orang anak yang masih bersekolah.
"Kami bercadang untuk beri sumbangan tetap kepada isteri Hoslan yang mempunyai tujuh orang anak.
"Kita perlu membela mereka yang sepatutnya dapat pengadilan sewajarnya. Jadi dalam tempoh setahun itu, kita akan beri setiap bulan," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.
Menurut Zailah, wang sumbangan yang akan diberikan pada Noorliza merupakan wang peruntukan yang telah sedia ada pada Muslimat dan bukan kutipan derma.
Semalam, Pemuda PAS mensasarkan RM20,000 kutipan derma bagi tabung membantu keluarga Hoslan.
Hoslan dijatuhkan hukuman atas kesalahan menghina mahkamah berikutan tindakan lelaki itu yang melemparkan seliparnya ke arah panel hakim.