Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan membentangkan dokumen-dokumen yang melibatkan pemberian tender secara rundingan dari tahun 2006 hingga 2010 supaya rakyat tahu keadaan sebenarnya.
Abdul Khalid berkata, dokumen-dokumen tersebut akan dibentang dan dibincangkan dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS)
untuk mendapatkan kelulusan sebelum disiarkan kepada umum.
Persidangan tersebut akan bermula pada 19 Mac sehingga 23 Mac 2012 dan akan dirasmikan oleh Sultan Selangor, Tuanku Saifuddin Idris Shah.
Menteri Besar berkata, proses pembentangkan ini perlu mengikut prosedur kerana dokumen berkenaan tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang memerlukan kelulusan DNS sebelum disiarkan kepada umum.
“Kita mengutamakan ketelusan dalam pentadbiran dan kerana itulah kita akan bentangkan dokumen-dokumen tender supaya rakyat tahu dan membuat penilaian terhadap keputusan-keputusan yang kita buat, ” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini.
Abdul Khalid berkata demikian ketika mengulas dakwaaan pengarang portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin bahawa kerajaan negeri itu memberi projek secara rundingan terus dan bukan tender sejak memegang tampuk pemerintahan negeri itu.
Menteri besar juga berkata, pemberian tender secara rundingan bukanlah sesuatu yang baru dan telah diamalkan oleh BN sekian lama.
Oleh itu, tambahnya, amat pelik mengapa pembangkang di Negeri Selangor sekarang berubah pendirian.
"Adakalanya juga terdapat kes tertentu yang memerlukan kerajaan negeri memberi projek atau tugasan secara terus dalam keadaan kecemasan.
“Sebagai contoh apabila kejadian tanah runtuh - kita perlu melantik juruperunding seperti IKRAM untuk menyiasat tahap keselamatan dengan segera.
"Dalam keadaan sebegini, kita tidak perlu meminta sebut harga. Tindakan ini tidak bercanggah dengan prosedur SPRM kerana telah mendapat kelulusan Exco dan Pegawai Kewangan Negeri,” katanya.