Hakim dalam kes pembunuhan kejam Altantuya Shaariibuu tidak menyentuh secara langsung mengenai motif dua anggota polis yang dituduh membunuh wanita Mongolia itu dalam penghakiman penuh beliau selepas memberikan keputusan perbicaraan berkenaan dua tahun lalu.
"Walau apapun motif itu, ia adalah perkara undang-undang di mana motif walaupun releven, adalah tidak penting untuk pembunuhan itu dijalankan," kata Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohd Zaki Md Yasin dalam penghakiman bertulisnya yang setebal 70 mukasurat itu.
Beliau bagaimanapun menyatakan seorang dari tiga tertuduh itu, iaitu penganalisis politk Abdul Razak Baginda mungkin mempunyai motif untuk membunuh Altantuya kerana wanita tersebut pernah mengugut beliau tetapi ini tidak boleh jadi asas kepada mahkamah memanggil tertuduh berkenaan untuk membela diri.
Abdul Razak, adalah rakan rapat kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika itu. Abdul Razak kemudiannya dilepas dan dibebaskan tanpa diminta membela dirinya.
Bagaimanapun, dua anggota polis dari Unit Tindakan Khas - Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar - didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman bunuh.
Mempunyai kaitan
“Persoalan yang berlegar untuk saya putuskan ketika ini adalah siapa yang mempunyai kaitan untuk menyebabkan kematian itu," kata Hakim Mohd Zaki.
“Saya bermula dengan bertanya kenapa tertuduh pertama (Azilah) dan tertuduh kedua (Sirul Azhar) berada di Hotel Malaya (di mana Altantuya serta sepupu dan rakannya menginap) pada 18 Okt, 2006. (Rakaman litar tertutup menunjukkan) mereka berada di tingkat 8, iaitu tingkat yang sama di mana si mati menginap."
Hakim itu juga mempersoalkan arahan yang diberikan oleh Azilah kepada Sirul Azhar apabila Altantuya dipindahkan dari kereta Proton Wira yang dimiliki oleh L/Cpl Rohaniza Roslan (teman wanita Azilah) ke kenderaan Suzuki Vitara milik Sirul Azhar, sementara tertuduh kedua menuju ke Bukit Aman, dan mengapa Azilah tiba-tiba senyap apabila Rohaniza bertanyakan mengenai Altantuya hari berikutnya.
“Persoalan tersebut berlegar di pemikiran saya dan dengan keterangan di bawah Seksyen 27, Akta Keterangan, terhadap Azilah yang beliau menunjukkan tempat kejadian di mana cebisan mayat mangsa dijumpai manakala Sirul Azhar pula membawa sehingga terjumpanya barangan kemas milik si mati, kelongsong peluru dan tkesan tompokan darah di kereta tertuduh kedua."
“Ini menggambarkan penglibatan Azilah dan Sirul Azhar terhadap pertuduhan yang dihadapkan terhadap mereka," kata Mohd Zaki dalam penghakimannya.
Hakim Mahkamah Tinggi itu juga menyatakan keadaan si mati yang dibunuh itu adalah tragis, dan "mereka yang melakukan perbuatan terkutuk ini di mana mangsa diletupkan adalah bertujuan untuk menghapuskan bukti".
Kes ini adalah antara pembunuhan paling kejam dalam sejarah negara yang menarik perhatian tempatan dan juga antarabangsa.
Mahkamah juga diberitahu bahwa Azilah telah menunjukkan kepada pihak polis di mana Altantuya diletupkan. Tetapi Cif inspektor itu menafikan keterangan berkenaan sehingga menyebabkan perbicaraan dalam perbicaraan terpaksa dijalankan.
Pengawal Perdana Menteri
Sirul Azhar yang berkhidmat sebagai pengawal peribadi pula dibawa dari Pakistan selepas bertugas mengiringi Perdana Menteri untuk lawatan luar negara. Barang kemas Altantuya kemudiannya dijumpai di rumahnya manakala kelongsong peluru (spent cartridge) yang telah digunakan dijumpai dari keretanya.
Dalam perbicaraan ini, Hakim Mohd Zaki ( kanan ) memutuskan punca kematian warga Mongolia itu adalah akibat "kecederaan disebabkan oleh letupan".
Semasa memberi keterangan dari kandang saksi, Azilah menafikan beliau berada di tempat kejadian dan mendakwa beliau sedang makan di Wangsa Maju makan. Sirul Azhar pula dalam kenyataan tidak bersumpah beliau dari kandang tertuduh berkata beliau dijadikan ‘kambing hitam’ apabila diarah oleh polis untuk menunjukkan barang kemas yang dijumpai di rumah beliau.
"Pada suatu ketika, ASP Zulkarnain Samsudin memasuki bilik tidur utama rumah saya dan diikuti anggota polis lain. Kemudian beliau memanggil jurugambar dan mengarahkan saya memegang jaket itu sambil merakamkan gambar. Saya kemudian nampak ASP Zulkarnain mengambil sesuatu keluar dari jaket. Jaket itu dibentangkan di atas katil dan ASP Zulkarnain mengarahkan saya menuding ke arah barang-barang kemas itu, ASP Zulkarnain berkata ‘kamu tuding barangan tersebut.
“Saya kata ‘Apa ni, Tuan’. Saya tidak mahu ikut arahanya, tetapi ASP Zulkarnain minta saya lakukan juga sambil berkata ‘kamu tunjuklah sahaja Sirul’. Barulah ketika itu, saya lakukannya dan gambar saya diambil," kata tertuduh kedua dalam kenyataan tidak bersumpah beliau.
Kenyataan tidak bersumpah Sirul Azhar dalam Bahasa Melayu juga dimuatkan dalam penghakiman penuh Hakim Mohd Zaki. Tertuduh kedua berkata beliau tidak mengenali si mati dan tidak pernah berurusan dengan wanita itu serta beliau juga tidak mengenali Abdul Razak atau pernah berurusan dengannya.
Tiada sebab
"Saya merayu kepada mahkamah ini mengambil kira bahawa sepanjang perbicaraan ini, saya telah mengikuti prosiding ini dan menyaksikan bagaimana beberapa saksi penting pendakwaan terutamanya saksi-saksi dari D9 IPK (KL) yang mereka-reka cerita, tidak bercakap benar dan sentiasa merubah-ubah cerita mereka ketika disoal balas.
“Saya melihat keadaan ini dengan keprihatinan kerana bagi saya tindakan mereka ini semata-mata bertujuan untuk mendapatkan sabitan terhadap saya sebagai ‘kambing hitam’ yang harus dikorbankan untuk melindungi rancangan dan niat jahat merea yang tidak berada di Mahkakah ini untuk menghadapi natijah daripada perlakuan dan perancangan mereka.
"Saya tidak mempunyai sebarang sebab untuk mencederakan apatah lagi mengambil nyawa mangsa dengan begitu kejam," kata beliau sambil menangis di kandang tertuduh.
Menurut Hakim Mohd Zaki, pada akhir kes pembelaan dan setelah menilai keterangan secara keseluruhan, mahkamah mendapati keterangan pembelaan merupakan penafian (denial), menyalahkan satu sama lain, tak terdamaikan (irreconcilable) dan rasa berbelah terhadap sesuatu (ambivalent).
“Oleh itu mereka gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan. Saya berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membukitikan kes tersebut melangkaui keraguan munasabah."
Maka, hakim itu memutuskan bahawa kedua-dua anggota polis itu bersalah dan mengarahkan mereka menjalani hukuman mati.