Menteri Muda Pertanian Sarawak Datuk Mong Dagang mempertahankan tindakannya mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi menghentikan bantuan kebajikan kepada pekebun kurang upaya, Frusis Lebi.
Mong juga berkata tindakannya meminta Jabatan Pertanian Sri Aman untuk tidak lagi memberi baja percuma dan benih pokok kepada pekebun yang cacat itu sebagai betul.
Beliau ketika dihubungi akhbar harian Inggeris The Sun semalam berkata sebagai seorang pemimpin yang prinsip, tidak akan menarik balik apa yang diarahkannya itu.
"Kita tidak boleh terus memberi bantuan kebajikan dan subsidi kerana beliau adalah seorang penyokong pembangkang yang tegar.
"Bantuan kebajikan harus diberikan kepada orang cacat yang lebih layak," katanya dipetik akhbar itu.
Dalam surat yang mengarahkan supaya bantuan itu ditarik balik, Mong berkata lelaki yang dilahirkan dengan kecacatan jari di tangan dan kakinya itu, menentang dasar kerajaan dan menyokong secara terbuka calon pembangkang pada pilihan raya negeri Sarawak April tahun lalu. Selain itu, beliau juga menuduh Frusis menyediakan bilik operasi untuk calon pembangkang.
Sejak surat itu tersebar di Facebook, ramai warga maya membidas pemimpin BN itu kerana didakwa menindas orang kurang upaya.
Bagaimanapun, Mong, yang juga Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS), semasa dihubungi The Sun berkata, Frusis tidak sepatutnya diberikan bantuan kebajikan kerana "beliau mampu menanam padi dan menunggang motosikal seperti manusia normal."
Frusis, Jumaat lalu, membuat laporan polis di Sri Aman berhubung bantuan bulanan RM300 dari Jabatan Kebajikan dan subsidi baja dan benih pokok buah-buahan daripada Jabatan Pertanian yang dihentikan tanpa alasan munasabah itu.
Menurut pekebun dan petani dari Kampung Entulang Entawa di Bahagian Sri Aman itu, sepanjang ingatannya, rumahnya tidak pernah digunakan sebagai pusat operasi pembangkang.
Namun beliau mengakui ada menggantung bendera pembangkang yang kemudiannya dirampas oleh ketua kampung dan dibakar.
Beliau dipercayai menyokong parti pembangkang berikutan kecewa dengan tindakan kerajaan negeri Sarawak yang didakwa mencerobohi tanahnya dan penduduk tempatan yang lain.