Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib sedia 'bincang' dengan orang berfikiran munasabah
Diterbitkan:  Mar 5, 2012 4:45 PM
Dikemaskini: 10:47 PM

Datuk Seri Najib Razak berkata beliau sedia berdebat mengenai politik dengan sesiapa saja yang mempunyai pemikiran yang munasabah dan yang serius mengenai masa depan negara.

Perdana Menteri berkata bahawa sebagai seorang ahli politik dalam sebuah negara demokrasi, beliau tidak dapat elak daripada orang bercerita perkara buruk mengenai diri beliau.

NONE "Jika saya tidak boleh menerima hakikat ini, maknanya saya telah buat pilihan kerjaya yang salah.

"Saya terima dengan adanya. Saya sedia berdebat mengenai politik dengan sesiapa, sama ada lelaki atau perempuan, yang mempunyai pemikiran yang munasabah dan saya hargai suasana politik di Malaysia yang meriah," katanya dalam entri terbaru bertajuk "Kebenaran Mengenai Malaysia" dalam blog beliau di www.1malaysia.com.my.

Bagaimanapun, Najib berkata ada satu garis di mana perdebatan demokratik berakhir dan digantikan pula dengan penyalahgunaan, penipuan dan penyalahgambaran.

"Mereka yang serius mengenai masa depan negara kita harus cuba untuk tidak menyeberangi garisan ini," katanya.

Katanya ada sesetengah pihak di negara ini yang tidak dapat menahan daya tarikan teori konspirasi yang hanya wujud dalam filem-filem Jason Bourne, bukan dalam perdebatan politik yang rasional, kerana teori sebegitu membebaskan diri mereka daripada menanggung tanggungjawab atas kegagalan mereka sendiri.

"Sukar untuk memenangi sesuatu hujah atau gagal mendapatkan sesuatu cara anda? Cara penyelesaian yang lebih mudah adalah untuk mengadu bahawa sistem yang ada ini telah dikongkong daripada bekerja keras untuk mencari hujah yang lebih baik atau mengakui kesilapan diri dengan rendah diri," katanya.

Najib berkata beliau sangat bimbang apabila melihat terlalu ramai yang mengatakan mereka mahu memimpin Malaysia namun mereka tidak mampu mengawal diri apabila berdepan dengan sesuatu perdebatan.

"Bagi mereka, tiada batasan dalam menggunakan apa sahaja cerita, tuduhan atau teori yang keterlaluan, tidak kisahlah sama ada ia berasas atau tidak, dan berlandaskan fakta atau tidak.

"Mereka tetap menggunakannya walaupun ia akan merosakkan reputasi negara di mata antarabangsa dan mengganggu kestabilan dalam negara," katanya.

- Bernama


Nota Editor: Bernama pada jam 9.25 malam memohon menukar perkataan 'berdebat' kepada 'berbincang' pada tajuk dan keseluruhan

berita. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS