Sejumlah 360,000 hektar tanah Felda yang dicanang pembangkang hendak diagihkan kepada generasi kedua tanah rancangan itu jika Pakatan Rakyat memerintah hanya akan menyebabkan Felda hilang punca pendapatan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.
Beliau berkata, tanah tersebut yang diuruskan Felda Plantantion adalah sumber pendapatan utama kepada Felda.
"Pendapatan hasil ladang berkenaan membolehkan agensi itu membelanjakan kira kira RM1.5 bilion setahun bagi membayar gaji kakitangan, pengurusan, membayar duit raya, pinjaman perumahan, tuisyen pelajaran, insentif, pinjaman usahawan dan pelbagai insentif kepada warga Felda .
"Ladang itu jika dibahagikan kepada semua generasi Felda, ia tidak mencukupi, malah mungkin tanah tersebut akan dijual dan akan menghadapi masalah berpanjangan,” katanya kepada pemberita di Mempaga, di Bentong.
Ahmad Maslan berkata, ladang berkenaan memberi banyak manfaat kepada peneroka dan jika Felda hilang punca pendapatannya, tiada lagi keistimewaan yang akan diperoleh warga peneroka.
"Malah untuk mengurus atau membayar gaji kakitangannya juga mungkin akan menghadapi masaalah.
"Tanah 360,000 hektar itu adalah pemberian kerajan-kerajaan negeri kepada Felda dan ia milik Felda tulen, manakala tanah peneroka tidak boleh diusik, apatah lagi nak dijual, digadai, dipajak atau sebagainya," katanya.
- Bernama