Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kuala Lumpur akan jadi bandar mesra basikal
Diterbitkan:  Mar 4, 2012 8:31 PM
Dikemaskini: 12:33 PM

Kuala Lumpur akan mengikut jejak langkah Putrajaya menjadi kawasan mesra basikal melalui penyediaan pelbagai kemudahan untuk penunggang basikal dalam masa terdekat.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, berkata perbincangan mengenainya sedang dijalankan dengan mengambil kira beberapa faktor terutama keselamatan sebelum ia dilaksanakan.

NONE "KL banyak kawasan yang perlu diubahsuai, tidak semua kawasan mesra basikal, takut ada kemalangan, perlu fikir pengguna trafik yang lain juga," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Berbasikal 'Fun Ride' sempena Hari Wilayah 2012 anjuran Sekretariat Hal Ehwal bandar (SHEB) Pergerakan Pemuda Umno di Kuala Lumpur, hari ini.

Seramai 900 penunggang basikal pelbagai bangsa dan usia menyertai program itu mengelilingi sekitar ibu kota dengan jarak sejauh 13km.

Antara yang mengambil bahagian ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim, dan Ketua Umno bahagian Bukit Bintang, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi.

Selain itu, Raja Nong Chik berkata pihak kementerian dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur juga sudah mengambil pelbagai langkah dalam memberi lebih ruang kepada pejalan kaki dan penunggang basikal di dalam bandar.

"Untuk pejalan kaki kita sedang sediakan walkway dan untuk yang berbasikal apabila selesai projek menghubungkan taman-taman di sekitar KL ini, ia akan (lebih) galakkan aktiviti berbasikal," katanya.

Mengenai bandar mesra basikal Putrajaya, Raja Nong Chik berkata ia sudah memasuki peringkat pelaksanaan dan perkhidmatan menyewa basikal juga akan diwujudkan di beberapa kawasan di pusat pentadbiran negara itu.

"Mungkin dalam tahun ini juga...basikal pun dah dibeli dan dalam proses penghantaran. Kumpulan pertama basikal akan sampai dan akan dikunci di kawasan-kawasan tertentu," katanya.

Pada 17 Disember lalu, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, memperkenalkan lapan Pakej Berbasikal Cuti-Cuti 1Malaysia Putrajaya sebagai satu lagi tarikan pelancong dalam dan luar negara mengunjungi Putrajaya sebagai destinasi percutian mereka.

Mengenai program "Fun Ride", Presiden SHEB, Tengku Azman Tengku Zainul Abidin, berkata ia dianjurkan sebagai satu langkah mendekati golongan remaja selain menyampaikan mesej kepada kerajaan untuk memberi lebih perhatian kepada golongan penunggang basikal yang semakin meningkat bilangannya di ibu kota.

"Ini adalah salah satu objektif kita, kita minta supaya kerajaan dapat menyediakan lebih banyak kemudahan kepada mereka ini dalam bandar seperti tempat meletak basikal, laluan khas dan sebagainya," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS