Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Surat Israel: Perangkap bagi Anwar atau Mahathir?

Tiga pucuk surat mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada tiga perdana menteri Israel pada 1993, 1997 dan 1999 yang didedahkan oleh akhbar tempatan benar-benar menginsafkan.  Ia menonjolkan keprihatinan Dr Mahathir terhadap nasib buruk rakyat Palestin.

mahathir ebook launching 091211 04 Sekaligus ia juga melaungkan sikap Dr Mahathir mahu sengketa sesama jiran diselesaikan melalui rundingan. Di segi perhubungan antarabangsa, ia membuktikan betapa konsisten dasar Malaysia bila berhadapan dengan konflik di antara negara serantau.

Bagaimanapun agak malang, keluhuran dasarnya ini kini tercemar oleh keghairahan pihak berkuasa dan peneraju media Malaysia hari ini untuk menjadikan dasar dan sikap negarawan ini sebagai modal untuk kepentingan politik semasa Malaysia.

Sama ada sengaja atau tidak, dalam usaha mengaut dividen politik, soal dasar yang mulia ini telah dipesongkan. Gejolak untuk memomokkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, oleh pemimpin kerajaan hari ini, termasuk Menteri Luar yang mengizinkan surat-surat Mahathir disiarkan pada umum, meninggalkan natijah yang menonjolkan kedangkalan dan niat buruk mereka sendiri.

Perhatikan kandungan surat Dr Mahathir pada Perdana Menteri Israel, Ehud Barak pada 8 Jun 1999. Antara perkara utama Dr Mahathir mengisyaratkan:

1.    Beliau (Dr Mahathir) sebagai perdana menteri Malaysia mengiktiraf sistem pilihan raya umum Israel. Sebab itu beliau mengucapkan tahniah kepada Ehud Barak yang baru memenangi pilihan raya negara itu.

2.    Jika Dr Mahathir menganggap kemenangan itu sah, ini bererti Barak berdiri sebagai perdana menteri Israel dengan cara sah sekaligus mengakui kesahihan kewujudan Negara Israel. Ini ditokok dengan hakikat bahawa Israel adalah anggota Pertubuhan Negara-negara Bersatu (United Nations).

3.    Dr Mahathir juga sebelum itu mengalu-alukan Perjanjian Prinsip dan Pengiktirafan Bersama Di antara Israel dan PLO seperti dalam surat 21 Disember 1993 kepada Perdana Menteri Israel, Yitzhak Rabin. Malah Dr Mahathir menegaskan penglibatan Malaysia menjadi Negara Penderma dan diwakili dalam Persidangan Damai di Washington.

4.    Dr Mahathir mengingatkan Ehud Barak bahawa untuk menjamin perdamaian benar-benar berlaku di rantau itu, langkah-langkah berkesan mesti diambil untuk memenuhi komitmen. Anak kuncinya, menurut Dr Mahathir, ialah bertolak ansur.  Katanya, rakyat Palestin tidak lagi menuntut penghapusan Israel. “Mereka malah bersedia berkongsi Baitulmaqdis,” kata beliau.

5.    Sebab itu, Dr Mahathir menegaskan pendirian “Malaysia tidak dapat membiarkan keganasan oleh mana-mana pihak , sama ada rakan atau musuh”.

6.    Sebagai kemuncak meraikan iltizam tulen untuk mencari damai di bumi Palestin dan Israel, Dr Mahathir “mengula-gulakan” bahawa “penyelesaian komprehensif di rantau tersebut akan membolehkan Malaysia melihat dengan realistik langkah positif ke arah penubuhan hubungan biasa dengan Israel”.

Demikian hatibudi dan sikap kenegarawanan Mahathir.

NONE Kini bandingkan sikap Anwar Ibrahim apabila memberitahu Wall Street Journal bahawa “keselamatan Israel perlu dijamin sementara hak sah rakyat Palestin perlu dipertahankan”. Apa bezanya sikap Anwar dengan bekas sifu nya, Dr Mahathir sendiri?

Kedua-duanya tahu bahawa menggertak Israel bererti mencabar Amerika Syarikat. Malah ada sosek politik  antarabangsa bahawa Dr Mahathirlah yang menasihati Almarhum Yasser Arafat supaya menerima penyelesaian menurut dasar “Dua Negara” dengan Israel.

Ini mungkin ada kebenarannya jika surat Dr Mahathir kepada Benjamin Netnyahu pada 14 Mac 1997 dijadikan sandaran.

Tambahan pula perkembangan mutakhir selepas Gelombang Kebangkitan Arab” atau “Arab Spring” menunjukkan kebijaksanaan ahli-ahli politik yang mendapat inspirasi daripada pergerakan Ikhwanul Muslimin yang mengambil alih kuasa di Mesir, Tunisia dan Libya mula “bercakap” dengan Israel.

Bukankah ini selari dengan pemikiran Dr Mahathir yang mahu pemimpin-pemimpin Palestin memberi peluang pada diri mereka sendiri membina Negara Palestin tanpa “gangguan” Israel dengan mengadakan “engagement” dengan Yahudi?

Namun kalangan yang berfikir tahu hasrat dan mengapa media arus perdana serta politikus kurang daya  berfikir di Malaysia membesar-besarkan isu yang tercetus daripada wawancara Anwar dengan Wall Street Journal.

Pertama, mereka mahu mengkiaskan Anwar memang berbaik dengan Yahudi dan mahu menggunakan hubungan intim ini untuk melonjakkan peluang beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia. Malangnya kini, surat-surat Mahathir kepada tiga perdana menteri Israel sebenarnya mengesahkan pemikiran Anwar tidak jauh daripada dasar Dr Mahathir.

Kedua, politikus muflis dan pengarang dangkal ini mahu mengadu-domba Anwar (PKR) dengan sekutunya, PAS. Malangnya, ini sebenarnya memberi kesempatan pada Anwar untuk memperjelaskan di antara doktrin PAS dalam hubungan Yahudi dengan dasar Pakatan Rakyat dalam menentukan dasar luarnya apabila memerintah Malaysia. Ini ada beza dan PAS faham perbezaan ini.

Namun yang menggelisahkan ialah, strategi dan langkah dangkal editor pengamal media arus perdana membayangkan ada kemungkinan ketiga – dengan menguar-uarkan kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merestui pendedahan surat Dr Mahathir ini, ia seolah-olah mendedahkan strategi Najib mahu melondehkan siapakah Dr Mahathir sebenarnya.

NONE Mungkinkah Najib ingin menyimpulkan bahawa Dr Mahathir sendiri mengiktiraf Israel? Adakah Najib juga mahu memutuskan rantai kebergantungannya pada “petunjuk” Mahathir dalam politik. Adalah jelas bahawa mutakhir ini Mahathir memang mendapat banyak publisiti.

Tidak mungkinkah Najib agak rimas dengan kemunculan semula Mahathir dalam gelanggang politik negara? Adakah Najib hendak menyamakan “nafsu Mahathir untuk terus memerintah Malaysia” dengan keghairahan Anwar mahu menjadi Perdana Menteri? Adakah mesej yang hendak dilontarkan Najib bahawasanya kedua-dua (Mahathir dan Anwar menyokong dan mengiktiraf Israel?)

Apapun pendedahan surat-surat Mahathir kini meringankan beban Anwar untuk memperjelaskan pendiriannya dalam hubungan beliau dengan Yahudi. Terima kasih pada Anifah Aman, editor media arus perdana dan politikus bankrap dalam kerajaan serta bekas rakan-rakan Anwar.  

Inisiatif ini nampaknya sudah menjadi senjata makan tuan.  


ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis/penyumbang dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Zainal Salleh adalah bekas penjawat awam dan aktif dengan aktiviti kebudayaan dan kesenian. Beliau sekarang menjadi seorang penulis bebas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS