Sama dengan pendirian yang diambil kumpulan pendesak Melayu, PERKASA, Umno juga menafikan mereka terbabit dalam kekecohan Himpunan Hijau di Padang Kota, Pulau Pinang pada Ahad lalu, yang mengakibatkan dua petugas media cedera.
Menurut Bernama yang memetik Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, sehingga kini, tidak ada laporan polis dibuat yang mendakwa adanya penglibatan Umno dalam kejadian itu.
"Kalau betul kita (Umno) terlibat... (Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng) mesti sudah buat laporan polis, tetapi tiada (laporan polis).
"Benda yang tiada, diada-adakan," katanya pada sidang media majlis penyerahan air mineral kepada program Jelajah Keamanan Wakaf Water4Gaza di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur, semalam.
Pada Ahad lalu, sekumpulan ahli-ahli Umno dan PERKASA didakwa menganggu perhimpunan anti-Lynas di Sudut Pidato, Padang Kota, Esplanade, Pulau Pinang ketika Lim sedang berucap.
Perhimpunan itu diadakan sebagai solidariti kepada Himpunan Hijau di Kuantan yang diadakan dengan kehadiran hampir 15,000 orang yang membantah keputusan kerajaan membenarkan loji pemprosesan nadir bumi milik Lynas Advanced Material Plant (Lamp) beroperasi di Gebeng, Pahang.
Kumpulan berkenaan dikatakan menyerbu ke arah orang ramai yang menghadiri Himpunan Hijau sehingga mengakibatkan huru-hara berlaku, di mana Lim secara lisan diugut dan dua wartawan diserang.
Lim juga semalam membuat laporan polis mengenai apa yang didakwanya sebagai "ancaman" oleh ahli-ahli Umno dan PERKASA keranan bimbang akan keselamatannya.
Malah, katanya, sekiranya sesuatu terjadi ke atas diri saya, Umno dan PERKASA mesti bertanggungjawab sepenuhnya.
Sejak kebelakangan ini, gangguan ke atas acara dan ceramah yang diadakan oleh pemimpin Pakatan Rakyat yang cuba menggempur kubu-kubu BN, khususnya Umno menjelang pilihan raya umum akan datang, semakin menjadi-jadi.
Ahad lalu, pada kejadian di Felda Lepar Hilir I, Gambang, Pahang, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, nyaris menjadi mangsa apabila penyokong Umno menyerang dan menyerbu pentas ceramahnya.
20 Februari lalu, kereta Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim diserang dengan lontaran batu, kayu dan mercun sehingga kemek dan cerminnya pecah ketika berceramah di Jalan Mersing, Sembrong.
13 Februari pula kunjungan Anwar ke Felda Tun Ghafar Baba, di Machap, Alor Gajah juga dicemari oleh penyokong Umno yang mengganggu ceramah beliau.
Awal bulan ini pula sekatan jalan raya didirikan daripda menghalang pemimpin dan penyokong Pakatan daripada menghadri ceramah yang dijadualkan di kubu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Pekan.