Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tengku Abdullah nafi campur tangan
Diterbitkan:  Feb 28, 2012 6:46 PM
Dikemaskini: 10:59 AM

Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang kini menjalani rawatan di Korea Selatan, hanya ingin mengetahui siapa pemimpin PKR yang ditangkap kerana berkhalwat.

tengku abdullah ahmad shah Bernama yang melaporkan memetik sumber yang sah, mengesahkan Tengku Mahkota Pahang tidak pernah campur tangan dalam isu tuduhan khalwat terhadap pemimpin PKR terbabit.

Menurut sumber berkenaan, pada malam 25 Feb lepas, Tengku Abdullah yang berada di Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Seoul, telah menitahkan seorang pegawainya untuk bertanyakan siapakah pemimpin PKR terbabit.

"Pegawai berkenaan telah menghantar pesanan khidmat ringkas (SMS) kepada saya: 'Titah u check sape pemimpin PKR yg kena khalwat di Phg..tq'," katanya ketika dihubungi Bernama di Kuantan, hari ini.

Menurut sumber berkenaan, beliau telah menghubungi Pengerusi Perhubungan PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman untuk bertanyakan perkara berkenaan sebelum memaklumkan kepada Tengku Mahkota.

Semalam, Pengarah Penerangan kerajaan Selangor Dr Badrulamin Bahron mendakwa beliau dimaklumkan bahawa Tengku Mahkota Pahang mungkin mencemar duli dan campur tangan dalam isu tuduhan khalwat yang dilemparkan terhadap dirinya.

Beliau berkata kes berkenaan mendapat perhatian Tengku Mahkota yang didakwa mengenalinya secara peribadi.

NONE JAIP pada Sabtu lalu dilaporkan menahan seorang pemimpin PKR kerana disyaki berkhalwat dengan wanita berstatus isteri orang di sebuah hotel di Kuantan.

Bagaimanapun, Timbalan Pengarah JAIP Datuk Mohd Gazali Abd Aziz menafikan dakwaan Badrulamin bahwa tangkapan itu adalah 'komplot terancang' daripada pejabat agama itu.

Sebaliknya, beliau menegaskan tindakan itu dibuat atas aduan daripada suami wanita terbabit yang menghubungi penguat kuasa JAIP supaya datang ke hotel itu kerana didapati isterinya bersama dengan lelaki lain.

Menurut sumber berkenaan, dakwaan yang mengatakan Tengku Mahkota telah mengarahkan orang kanannya bertemu Dr Badrulamin adalah tidak benar sama sekali.

Tengku Mahkota kini menjalani rawatan di sebuah hospital di Seoul dan dijangka berangkat pulang pada 6 Mac ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS