Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Batal konsert Erykah atau PERKASA 'rancang sesuatu'
Diterbitkan:  Feb 28, 2012 9:20 AM
Dikemaskini: 3:09 AM

Kumpulan pendesak Melayu, PERKASA mahu kerajaan membatalkan konsert penyanyi "funk", "hip-hop" dan "soul", Erykah Badu, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang dijadualkan esok.

“PERKASA juga desak kerajaan batalkan konsert penyanyi tersebut di negara ini pada 29 Februari ini.

NONE “Kita perlu batalkannya kerana penyanyi itu menghina Islam. Di bulan Maulidul Rasul pula.

“Kita tidak boleh biarkan konsert itu diteruskan. Rakyat asing yg menghina Islam untuk apa kita benarkan dia masuk. Kalau penyanyi itu sudah ada dalam negara ini, perlu dihalau keluar segara,” kata setiausaha agungnya, Syed Hassan Syed Ali ( kiri ) dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau juga meminta umat Islam yang berhajat utk menyaksikan konsert penyanyi berusia 40 tahun itu esok bagi membatalkan niat mereka jika sayangkan kesucian Islam.

Walaupun, tidak menyatakan apa yang akan dilakukan jika kerajaan gagal membatalkan konsert berkenaan, namun Syed Hassan memberi amaran bahawa kumpulan itu sedang merancang sesuatu.

“PERKASA sedang rancangkan sesuatu. Tunggu dan lihat esok apa yang akan PERKASA lakukan jika konsert penyanyi itu diteruskan,” katanya.

Dalam kenyataan medianya, beliau juga membidas akhbar harian Inggeris The Star kerana dalam  ruangan muziknya, akhbar milik MCA itu menyiarkan gambar Erykah Badu yang menunjukkan wajah dan bahagian atas dadanya.

NONE Sebahagian dadanya terdedah dan tertera pelbagai tatu, termasuk perkataan "Allah", di bahagian sisi kiri dan kanan dadanya berhampiran ketiak.

Selain dua tatu kalimah Allah, simbol lain pada dada dan lengannya yang terdedah juga memperlihatkan huruf-huruf dalam bahasa Yahudi dan simbol seakan-akan piramid.

The Star memang betul-betul akhbar bangsat! Menyiarkan gambar penyanyi perempuan dengan tatu Allah di badannya. PERKASA percaya ia disengajakan.

The Star pula sudah berapa kali lakukan hal-hal menghina umat Islam. PERKASA tidak mahu menuntut The Star mohon maaf dan tidak akan memaafkan jika mereka mohon maaf,” katanya.

Menurut Syed Hassan, kumpulan itu mahu kerajaan mengambil tindakan tegas dengan segera ke atas akhbar itu dengan menggantung lesen penerbitannya.

NONE “Sudah banyak kali The Star lalukan penghinaan kepada umat Islam. Perlu dihukum. Hukuman kerana tidak tahu hal-hal sensitif org Islam, kerajaan perlu gantung lesennya,” katanya lagi.

Selain itu, beliau juga menuntut pihak kerajaan mendakwa ketua pengarang akhbar itu kerana dituduh mempunyai niat menghina Islam sambil menambah pertubuhan itu tidak boleh memberi jaminan bahawa ahli-ahlinya tidak bertindak di luar undang-undang kerana terlalu marah.

“PERKASA (juga) seru umat Islam pulaukan The Star . Haram beli The Star kerana ia menguntungkan orang yang hina Islam,” katanya.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan akhbar lewat petang semalam memaklumkan bahawa The Star telah diminta memberi penjelasan berhubung penyiaran gambar penyanyi wanita Amerika Syarikat itu.

Menurut timbalan menteri berkenaan Datuk Lee Chee Leong, akhbar milik MCA itu juga akan diberi surat tunjuk sebab untuk memberi penjelasan bertulis dalam masa seminggu kepada KDN.

Akhbar itu, pada versi online telah membuat permohonan maaf berhubung gambar yang disiarkan yang didakwa secara tidak diseganjakan pada hari semalam juga.

 

ADS