Pengarah komunikasi Pejabat Menteri Besar Selangor Dr Badrulamin Bahron menafikan dakwaan media bahawa beliau ditangkap khalwat oleh pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di sebuah hotel di Kuantan, awal pagi semalam.
“Kenyataan Timbalan Pengarah JAIP (Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz) bahawa saya ditahan oleh pegawai JAIP ketika berkhalwat adalah tidak benar sama sekali.
“Saya beranggapan bahawa kejadian ini merupakan satu tindakan terancang untuk memerangkap dan mengaibkan saya,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Menurut Badrulamin ( atas, berbaju kelabu ), beliau hanya dipanggil untuk membantu siasatan JAIP pada 27 Februari ini dan akan hadir bersama peguamnya untuk memberi kerjasama penuh kepada siasatan berkenaan.
Semalam, Bernama yang memetik Mohd Ghazali melaporkan seorang pemimpin PKR ditangkap khalwat dengan seorang wanita berstatus isteri orang di sebuah hotel di Balok, Kuantan oleh pasukan penguatkuasa JAIP.
Mohd Ghazali bagaimanapun enggan mengulas lanjut penangkapan pemimpin PKR itu tetapi Bernama melaporkan lelaki itu pernah menggelarkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Imam Mahdi.
Badrulamin sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi apabila pada satu ceramahnya, beliau seolah-olah menyamakan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Imam Mahdi.
Beliau yang juga ketua cabang PKR Sabak Bernam menjelaskan beliau berada di hotel berkenaan kerana menghadiri temurapat pemimpin PKR.
Bagaimapun pada jam 2 pagi, Sabtu lalu, beliau kemudiannya dihubungi wanita berkenaan dengan nada cemas dan menyatakan beliau mempunyai masalah keluarga yang serius.
“Saya telah mengenali pasangan suami isteri ini sejak lebih setahun lalu semasa wanita itu bersama keluarganya mengikuti rombongan umrah saya.
“Pasangan suami isteri ini sering berhubung dengan saya bagi mendapatkan nasihat mengenai masalah keluarga yang mereka hadapi termasuk kes keganasan rumah tangga,” katanya.
Menurut Badrulamin lagi, wanita berkenaan juga menyatakan hasratnya untuk meninggalkan suaminya tetapi beliau menasihatkannya supaya tidak berbuat demikian.
Bagaimanapun, katanya, wanita itu kemudian datang ke hotel penginapannya bersama anaknya. Badrulamin berkata atas rasa bertanggungjawab melihat wanita tersebut bersama anaknya di awal pagi, beliau membantu mereka mendapatkan bilik penginapan.
“Pada jam 2.30 pagi suami wanita tersebut bersama lebih kurang 20 orang yang tidak dikenali menyerbu dan menyerang saya. Suami wanita tersebut kemudiannya telah membawa isteri dan anaknya pergi secara paksa.
“Lelaki-lelaki bersikap ala samseng ini berhenti memukul saya apabila pihak keselamatan tiba dan menghalang mereka.
“Namun mereka masih tidak membenarkan saya keluar dari bilik. Hanya setelah 20 minit dikurung oleh samseng tersebut, pegawai JAIP tiba dan menahan saya yang berseorangan di dalam bilik,” katanya.
Badrulamin berkata beliau berharap dengan penjelasan ini, semua pihak menghentikan tohmahan dan fitnah terhadap dirinya. Tambahnya, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang membuat tuduhan dan fitnah terhadapnya.
PKR menganjurkan temurapat di Kuantan pada hujung minggu ini bagi persiapan menghadapi pilihan raya umum parti itu.