Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar, pimpinan utama PKR hadir ke Himpunan Hijau 2.0

Majoriti barisan kepimpinan PKR yang akan diterajui oleh ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan hadir ke perhimpunan membantah projek nadir bumi Lynas Advanced Materials Plant (Lamp) di Kuantan Ahad ini.

NONE Setiausaha agungnya Datuk Saifuddin Nasution berkata, bagi tujuan itu mereka mengubah lokasi temurapat atau pemukiman yang sepatutnya diadakan di Lumut ke bandar itu.

“Kita juga kosongkan aktiviti pemukiman pada waktu perhimpunan itu bagi membolehkan mereka (peserta pemikiman) turut serta (berhimpun),” katanya ketika ditanya sokongan PKR pada perhimpunan hijau itu.

PAS – rakan gabungannya dalam Pakatan Rakyat – sebelum ini mengerahkan kira-kira 10,000 ahlinya  daripada 14 kawasan seluruh Pahang bagi membantah projek itu. Mereka dijangka diketuai Timbalan Presiden Mohamad Sabu dan Naib Presiden Salahuddin Ayub.

NONE Malah, PAS Terengganu – negeri bersebelahan Pahang – memberitahu Malaysiakini, kepimpinan tertinggi negerinya akan hadir bersama kebanyakan penyokong daripada daerah berdekatan seperti Kemaman dan Dungun.

Saifuddin juga memberitahu Malaysiakin i semalam, sebahagian besar daripada kira-kira 130 peserta pemukiman, terdiri daripada kepimpinan tertinggi parti akan turut serta.

Katanya, arahan juga telah diberikan kepada semua ahli PKR, khususnya di Pahang dan sekitar Kuantan untuk turun bagi memeriahkan perhimpunan itu.

Dalam kenyataannya hari ini, Saifuddin juga berkata beliau telah mengeluarkan arahan kepada semua anggota PKR di seluruh Malaysia umumnya untuk turut sama menyokong himpunan itu.

Temurapat atau permukiman tiga hari PKR bermula esok akan disertai semua anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP), wakil rakyatnya dan ketua-ketua cabang terpilih daripada seluruh negara.

NONE Himpunan Hijau 2.0 dijadual berlangsung di padang Majlis Perbandaran Kuantan pada 26 Februari mulai jam 9.30 pagi, meskipun semalam pihak berkuasa mula mendirikan pagar sekeliling padang berkenaan.

Ketika dihubungi, pengerusi jawatankuasa penganjur Wong Tack memberitahu Malaysiakini pagar yang didirikan tidak akan menghalang rakyat daripada berhimpun.

Apabila diberita bahawa majlis perbandaran Kuantan juga akan menganjurkan pertanding futsal pada hari yang sama, Wong sekadar menyambut baik dan berkata mereka boleh merancang bersama.

"Kami 100 peratus pasti akan menggunakan padang itu untuk berhimpun. Kami hanya ada pelan A, tidak ada pelan B,” katanya dalam nada yang cukup tegas.

Di tanya sama ada hadirin akan merobohkan pagar dan merempuh ke padang, Wong tidak memberikan jawapan secara langsung.

NONE Katanya, rakyat yang hadir mungkin terpaksa menukar rancangan dan turun ke jalanan kerana didesak berbuat demikian oleh kerajaan.

“Harapan kami, hanyalah benarkan kami berhimpun secara aman selama dua jam setengah di padang itu,” katanya lagi.

Selain di Kuantan, pelbagai lagi program serentak di beberapa bandar raya besar, termasuk Kuala Lumpur akan diadakan pada Ahad ini sebagai solidariti membantah kilang memproses nadir bumi itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS