Sekumpulan ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) hari ini menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap kenyataan Ketua Beliawanis MCA, Jessie Ooi yang mengecam kakitangan majlis tempatan itu kerana menjalankan tugas mengunci roda kereta.
Mereka berikrar untuk mengambil tindakan terhadap Jessie dan bentuk tindakan tersebut akan diputuskan dalam mesyuarat penuh majlis pada hari Jumaat.
Kumpulan itu mahu Jessie menarik balik kenyataannya mengenai tindakan mengunci tayar dan menunda kereta di Pulau Pinang oleh kakitangan majlis, kerana mendakwa "tuduhan itu semuanya tidak berasas ".
Ahli majlis berkenaan memberi Jessie sehingga Jumaat ini untuk
menarik balik dan memohon maaf atas kenyataannya itu.
Jessie menjadi terkenal dalam sekelip mata ekoran cara dia mengemukakan soalan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, semasa debat dengan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek pada 18 Februari lalu di Kuala Lumpur.
Selepas menjadi sasaran hebat kritikan berhubung kenyataannya itu, Jessie berikrar untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang memfitnahnya di Internet.
Dalam sidang akhbar yang diadakan oleh ahli majlis itu di bangunan MPPP di Padang Kota Lama hari ini, klip video ditayangkan, yang menunjukkan aksi Jessie itu.