Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menolak cadangan debat antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tiada keperluan.
Tengku Adnan sebaliknya berkata, Anwar sepatutnya berdebat dengan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, lapor Umno Online.
"Saya tidak nampak sebarang keperluan untuk debat diadakan antara Datuk Seri Najib dan Anwar tetapi sekiranya Anwar mahu berdebat saya boleh mengaturkan untuk beliau berbahas dengan bekas pembantunya sendiri iaitu Mohd Saiful Bukhari Azlan," beliau dipetik sebagai berkata di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Sinar Harian hari ini melaporkan Tengku Adnan sebagai berkata, kesediaan berdebat yang diluahkannya sebelum ini tidak bermaksud merealisasikan debat Najib-Anwar.
“Saya bukan maksudkan sokong atau mahu realisasikan debat antara Perdana Menteri dan Anwar. Saya juga tidak rela PM buang masa berdebat kosong dengan Anwar. Banyak lagi urusan penting yang perlu beliau selesaikan.
“Saya sebut sebelum ini kita bersedia berdebat, tetapi bergantung kepada topik yang mahu diperdebatkan. Kita juga ada Timbalan Perdana Menteri, Naib Presiden Umno, Majlis Tertinggi Umno, Ketua Pemuda dan Ketua Wanita. Mereka juga boleh berdebat dengan pembangkang,” kata Tengku Adnan yang dipetik akhbar Sinar Harian hari ini.
Ahad lalu, The Star melaporkan Tengku Adnan, sambil menyifatkan perdebatan sebagai sesuatu yang ‘sihat’ berkata parti pemerintah itu sentiasa bersedia untuk mengambil bahagian dalam perbahasan seperti mana yang dilakukan antara presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan setiausaha agung DAP Lim Guan Eng pada Sabtu lalu.
Sehubungan itu, setiausaha agung PKR Datuk Saifuddin Nasution pada sidang akhbarnya semalam, meminta Tengku Adnan berperanan sebagai orang tengah bagi mengaturkan perdebatan antara Najib dan Anwar.
Dalam satu lagi perkembangan, SUPP yang berpangkalan di Sarawak dilaporkan menerima cabaran debat dari DAP.
Menurut akhbar Sarawak, United Daily , presiden baru SUPP Datuk Seri Peter Chin, bersetuju menerima cabaran dari ADUN Piasau Ling Sie Kiong, tetapi beliau masih belum menerima jemputan rasmi dari wakil DAP itu.
Chin berkata bahawa Ling perlu menulis surat rasmi menyatakan topik perbahasan, penganjur dan menetapkan syart-syarat serta butiran berkaitan.
[Baca berita penuh]