Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ceramah PKR diganggu lagi, kereta Anwar dipecahkan

Kereta Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan kemek dan rosak akibat terkena balingan batu dan didakwa ditendang sekumpulan lelaki yang dipercayai sebagai penyokong Umno semasa ceramahnya di kawasan Parlimen Sembrong, Johor malam semalam.

NONE Menurut setiausaha agung PKR Datuk Saifuddin Nasution, ceramah Anwar pada jam 11.30 malam itu  juga diganggu.

"Mereka juga membaling mercun di atas kepala anggota polis,” katanya kepada wartawan di ibu pejabat PKR di Tropicana, Selangor, hari ini.

Pada kejadian itu, Saifuddin berkata penyokong Pakatan juga dilempar dengan mercun, telur dan botol. Selain itu, mereka juga dilontarkan dengan kata-kata kesat.

Beliau berkata "samseng yang dibayar" itu berusia kira-kira 15-18 tahun dan mereka kemudiannya dikenal pasti oleh penduduk tempatan sebagai "orang Umno".

NONE "Satu laporan polis dibuat oleh pemimpin PKR tempatan di balai polis Kluang kira-kira jam 3 petang ini," katanya, sambil menambah bahawa PKR telah mendapatkan permit polis untuk acara tersebut.

Menurut Saifuddin, gangguan mula walaupun sebelum ketibaan Anwar, dengan kira-kira 50 hingga 80 orang yang bermotosikal membuat bising dengan merempit.

"Ia berterusan. Daripada sebelum Anwar tiba sehingga akhir ucapannya," katanya, sambil menambah bahawa Anwar terpaksa pulang ke Kuala Lumpur dengan menaiki kereta pengawal peribadinya  untuk tujuan keselamatan.

"Adakah polis membenarkan kejadian seperti itu semata-mata untuk melindungi masa depan politik Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein di kawasannya Sembrong? Jika tidak, mengapa tidak mereka menghentikannya, atau mengapa tiada tangkapan dibuat?" soalnya.

NONE Parlimen Sembrong sebelum ini kenalpasti antara kubu kuat Umno dan ia diwakili oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Sejak kebelakangan ini, ceramah-ceramah pembangkang dan juga pro-Pakatan seringkali diganggu dan ia dipercayai sebahagian daripada taktik menakut-nakutkan masyarakat terutama dalam usaha menguasai sokongan orang Melayu.

Pada 21 Januari lalu, perhimpunan NGO Asalkan Bukan Umno (ABU) di Jalan Kebun, Klang  terpaksa dibatalkan apabila sekumpulan belia bermotosikal menyerbu majlis itu sehingga menyebabkan seorang peserta cedera.

Pada 11 Februari lalu pula, seramai 15 aktivis pelajar terpaksa diiringi polis bagi meninggalkan Kampung Idaman, juga di Klang apabila sekali lagi kumpulan remaja bermotosikal menggangu majlis mereka yang mahu menuntut kebebasan akademik.

NONE Selain dewan tempat ceramah diselerakkan dan kerusi dipecahkan, kumpulan samseng itu juga  membaling batu dan merosakkan sebuah kereta.

Ceramah Anwar di Felda Tun Ghafar di Alor Gajah, Melaka, pada petang 13 Februari lalu pula dicemari oleh kekecohan di antara penyokong PKR dan BN.

Pada kejadian itu, penyokong BN dikatakan tiba-tiba muncul dengan kira-kira 20 hingga 30 motosikal serta puluhan lagi kereta bagi mengganggu ceramah tersebut.

NONE Malah, sejurus sebelum ceramah bermula, sekumpulan penyokong Umno didakwa tellah menampar seorang lelaki ahli PKR yang cuba meletakkan bendera parti sebagai persiapan ceramah.

Jumaat lalu, Anwar terpaksa membonceng motosikal berikutan banyak sekatan polis bagi menghalang rakyat mengikuti ceramahnya di Parlimen Pekan yang diwakili Najib.

ADS