Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata langkah kerajaan mewajipkan pengeluar barangan terkawal memaparkan logo 1Malaysia pada bungkusan produk mereka tidak seharusnya dianggap sebagai satu langkah politik.
"1Malaysia bukan politik, ia adalah mengenai Malaysia," kata Najib sinis, menjawab soalan pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat majlis Tertinggi BN di PWTC, Kuala Lumpur, malam semalam.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Tan Lian Hoe pada 10 Februari lalu mengumumkan bahawa tiga barang kawalan - tepung, gula dan minyak masak - mesti memaparkan logo 1Malaysia pada bungkusannya untuk layak bagi menikmati subsidi kerajaan.
Idea berkenaan bertujuan memaklumkan kepada pengguna bahawa produk tersebut disubsidi oleh kerajaan. Arahan itu sepatutnya dikuatkuasakan mulai bulan ini.
Sebelum ini, pengeluar tepung juga diminta oleh kerajaan supaya memaparkan logo 1Malaysia pada bungkusan mereka mulai Januari lalu tetapi perkara itu tidak diwajibkan.
Sesetengah pengusaha sebelum ini meluahkan rasa tidak puas hati kerana mendakwa bahawa arahan itu "tergesa-gesa" dan mereka memerlukan lebih banyak masa untuk mematuhinya.
Menurut pengkritik logo dan slogan 1Malaysia sebenarnya adalah sebahagian daripada jentera propaganda BN untuk menarik sokongan rakyat.
Hujah mereka, kerajaan menyalahgunakan kuasa dan wang rakyat bagi meraih sokongan untuk BN.
Mengenai cadangan agihan wang tunai RM500 mengikut program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dibuat secara tahunan, Najib jelas keberatan menjawab soalan itu.
"Kita tengok dulu, sampai masa kita umumkan," katanya.
Sebelum ini, ramai pihak berpendapat program seperti BR1M hanya propaganda BN dan Umno bagi memancing undi kerana pilihan raya umum dijangka diadakan tidak lama lagi.
BN menafikannya dan mendakwa program berkenaan bertujuan mengurangkan beban rakyat berpendapatan isi rumah kurang RM3,000 dan mudah terjejas akibat kenaikan kos sara hidup.
Sehingga 12 Februari, sebanyak RM602,579,500 baucar BR1M telah ditunaikan. Dalam tempoh yang sama, sebanyak 4,597,434 orang telah membuat permohonan BR1M dan 3,580,916 permohonan telah diluluskan.