PAS tetap dengan pendirian menentang umat Islam menyambut Hari Kekasih (Valentine's Day), kata presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau dipetik Bernama sebagai berkata PAS tidak akan menarik balik pendirian parti itu seperti yang didesak DAP kerana penentangan itu hanya ditujukan untuk orang Islam sahaja.
"Orang bukan Islam (sambutan) itu hak dia, kita tidak boleh ganggu. Kita nak gesa orang Islam kerana ini tanggungjawab agama.
"Di Kelantan dan Terengganu kita haramkan arak bagi orang Islam tetapi pengharaman itu tidak membabitkan orang bukan Islam," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan di Klang petang semalam.
Abdul Hadi diminta mengulas kenyataan pengerusi kebangsaan DAP Karpal Singh semalam yang menggesa PAS menarik balik pendirian parti itu yang menentang sambutan Hari Kekasih yang untuk tahun ini, akan disambut Selasa ini.
Cegah kemungkaran
DAP berpendapat pendirian PAS itu sangat bertentangan dengan hak asasi manusia dan prinsip kebebasan di Malaysia, kata Karpal.
Sementara itu, timbalan ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Aziz ( kanan ) di laman sosial Facebook nya menyelar Karpal yang tidak bersetuju dengan pendirian parti Islam itu yang menentang sambutan Hari Kekasih.
Katanya, keputusan itu bukan hanya pendirian PAS, tetapi juga adalah pendirian semua umat Islam.
Sambil meminta Karpal belajar menghormati agama lain, Nik Abduh turut menegaskan peguam itu sepatutnya tidak memaksa pandangannya diterima oleh orang lain.
“Karpal kena belajar walau sudah tua untuk menghormati agama lain, bukan memaksa pandangan sendiri ke atas orang lain. Politik bukan mahkamah.
“Mencegah kemungkaran adalah kebaikan yang dipromosi agama secara unggul. Dalam diri umat Islam ada agama. Ia hak tertinggi. Justeru, mendidik umat agar menghormati ajaran agama adalah hak asasi umat Islam,” katanya.
7 Februari lalu Pemuda PAS menggesa kerajaan melancarkan kempen menentang sambutan Hari Kekasih termasuk menyiarkan iklan anti sambutan bagi mencegah umat Islam menyambutnya.