Ketua Umno bahagian Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee berkata kontroversi yang timbul berhubung isu syarikat National Feedlot Corporation perlu diselesaikan sebelum pilihan raya umum ke-13 diadakan.
Katanya, beliau tidak mahu isu yang membelenggu ketua sayap wanita parti itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, menghakis sokongan rakyat terhadap kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Isu tersebut bakal menjadi beban besar kepada Umno sekiranya tidak ditangani, katanya seperti dipetik blog umnobahagiancheras.blogspot.com.
"Jangan salahkan rakyat (pengundi) jika mereka beralih sokongan disebabkan kegagalan kerajaan menangani isu berkaitan kepentingan umum termasuk NFC," katanya lagi.
Kenyataannya itu timbul berikutan pendedahan terbaru PKR semalam berhubung dakwaan pembelian dua lagi kondominium , bernilai RM34.6 juta di di kawasan mewah Pusat Kewangan Marina Bay, Central Boulevard, Singapura.
Pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli semalam berkata, pembelian tersebut dipercayai diluluskan oleh bank-bank terbabit sebagai urusan timbal balik kerana National Feedlot Centre dan syarikat-syarikat berkaitan yang dimiliki keluarga Shahrizat mempunyai deposit yang besar di bank-bank tersebut.
Deposit berkenaan didakwa merupakan sebahagian daripada dana RM250 juta yang diluluskan bagi tujuan operasi National Feedlot Centre.
Kedua-dua hartanah itu dimiliki oleh suami Shahrizat, Datuk Mohd Salleh Ismail dan anak mereka, Wan Shahinur Izran.
Syed Ali juga menegaskan bahawa rakyat mahu isu yang mendapat perhatian media antarabangsa itu dijelaskan secara sahih.
"Jika semua dakwaan pembangkang terutama PKR itu fitnah, saya minta pihak berkenaan menafikannya secara terbuka berserta bukti atau fakta yang tepat bagi meyakinkan rakyat," katanya lagi.
Masyarakat umum mungkin membentuk persepsi bahawa dakwaan tersebut sebagai sesuatu yang "benar" sekiranya tidak dinafikan oleh keluarga Shahrizat, tambahnya.
Katanya lagi, keluarga Shahrizat juga tidak perlu takut jika mereka benar-benar tidak terlibat dalam penyelengan mahupun salahguna kuasa dalam kes tersebut.