Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diingatkan supaya tidak sibuk dengan isu-isu kecil dan prosedur tetapi sebaliknya memberi tumpuan utama kepada membersihkan daftar pemilih, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Tanggungjawab lebih besar bagi SPR adalah membersihkan pilihan raya, bersihkan daftar pemilih, pastikan pilihan raya yang adil dan akses media untuk semua (parti yang bertanding).
"SPR tidak harus terikat atau sibuk dengan perkara-perkara kecil kerana itu prosedur biasa. Ini satu cubaan untuk mengalihkan perhatian rakyat," katanya pada sidang akhbar di Wangsa Maju hari ini.
Beliau mengulas laporan dalam akhbar The Star hari ini bahawa SPR akan menghentikan amalan mengadakan perarakan pada hari penamaan calon pilihan raya.
Parti-parti pembangkang sebelum ini menuduh SPR berdolak dalik berhubung syor dan cadangan yang telah dibuat oleh jawatankuasa terpilih khas parlimen (PSC) berhubung pembaharuan dalam sistem pilihan raya di negara ini.
Langkah terbaru SPR itu menimbulkan kebimbangan di kalangan parti pembangkang yang sebelum ini seringkali menuduh badan itu menyebelahi kerajaan yang diterajui BN dan sering cuba melambatkan reformasi pilihan raya.