Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NFC enggan terima memo NGO
Diterbitkan:  Jan 31, 2012 4:22 PM
Dikemaskini: Feb 1, 2012 1:39 AM

Usaha sebuah NGO menghantar memorandum kepada National Feedlot Corporation berhubung dakwaan perbelanjaan kad kredit RM600,000 yang didakwa menggunakan wang daripada dana kerajaan hanya sampai di muka pintu.

Rombongan kira-kira 10 aktivis JINGGA 13 pulang hampa apabila kehadiran mereka di Kuala Lumpur gagal mencapai matlamat apabila pegawai syarikat itu enggan menerima memorandum itu.

NONE "Walaupun Saudara Fariz Musa selaku ketua koordinator menyatakan bahawa JINGGA 13 mewakili kehendak rakyat untuk dapat penjelasan, namun pegawai itu bertegas untuk mengikuti arahan atasan dengan alasan NFC adalah 'entiti perniagaan'," kata setiausahanya Saifuddin Shafi Muhammad.

Menurut Saifuddin, pegawai itu juga menyatakan tidak mahu mengganggu tugas pihak polis yang sedang menyiasat kes itu walaupun pengarah eksekutifnya Wan Shahinur Izmir Salleh didakwa berkali-kali membuat kenyataan menafikan dakwaan itu.

JINGGA 13 sebelum ini membuat laporan polis terhadap empat anggota menteri pembangunan wanita Datuk Seri Shahrizat Jalil yang didakwa membelanjakan hampir RM600,000 pada tahun 2009 dengan kad kredit yang wangnya dari dana NFC.

Dalam kenyataannya hari ini, NGO yang dekat dengan PKR itu juga mempersoalkan keistimewaan kumpulan pendesak Melayu PERKASA dan 11 NGO yang dijemput khas untuk diberi penerangan oleh NFC sebelum ini.

Justeru, Saifuddin mempersoalkan kenapa JINGGA 13 yang melaporkan perkara itu kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak dilayan jika benar tiada fakta mahu disembunyikan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS