Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Salleh: NFC tidak minta Shamsubahrin rasuah polis
Diterbitkan:  Jan 31, 2012 3:11 PM
Dikemaskini: 7:20 AM

Pengerusi eksekutif Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC), Datuk Mohamad Salleh Ismail menafikan dakwaan bahawa beliau meminta ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail merasuah polis berhubung siasatan salah guna pinjaman mudah kerajaan oleh syarikat projek penternakan lembu itu.

NONE Salleh, dalam laporan New Straits Times hari ini, berkata syarikat itu tidak perlu merasuah polis yang disifatkannya sebagai adil dalam siasatan mereka.

"Kami tidak ada masalah untuk menjawab soalan-soalan mereka ataupun untuk bekerjasama dengan mereka dalam siasatan, (jadi) kita tidak mempunyai sebab untuk merasuah mereka," kata beliau dipetik akhbar berkaitan Umno itu.

Semalam, PKR mendedahkan bahawa laporan polis yang dibuat oleh Shamsubahrin mendakwa Salleh memaksanya untuk merasuah polis supaya skandal NFC ditutup apabila beliau dilantik sebagai penasihat korporat dan perunding.

Bagaimanapun, Salleh berkata Shamsubahrin hanya diupah untuk berurusan dengan pihak media.

"Kami hadapi tuduhan dalam akhbar dan ‘serangan’ dari pembangkang. Untuk sebab itu bahawa Shamsubahrin telah diupah," katanya kepada akhbar berkenaan lagi.

NONE Shamsubahrin didakwa pada 30 Dis tahun lalu dengan menipu Salleh sebanyak RM2 juta dalam yuran perundingan. Beliau ditangkap semula selepas diikat jamin pada 19 Jan lalu dan dikenakan dua lagi tuduhan menipu tambahan Jumaat lalu.

Beliau kini merengkuk di penjara Sungai Buloh setelah tidak dibenarkan diikat jamin oleh polis.

Salleh tegas mendakwa bahawa Shamsubahrin telah menipunya serta menafikan bahawa ahli perniagaan itu dijadikan kambing hitam.

"Beliau tawarkan perkhidmatan beliau, dan kemudian menuntut bayaran dibuat dahulu walaupun belum melaksanakan sebarang tugas kerana perjanjian pelantikan beliau belum disediakan," kata Salleh dalam laporan itu.

"Perjanjian perkhidmatan Shamsubahrin disediakan oleh kakitangan NFC tetapi beliau ditangkap sebelum boleh ditandatanganinya. Jika Shamsubahrin adalah kambing hitam, mengapa dia sentiasa menghantar bil dan menuntut kita membayarnya?"

Sambil berkeras bahawa Shamsubahrin berbohong, Salleh berkata beliau mempunyai SMS untuk membuktikan bahawa ahli perniagaan itu mengenakan tekanan terhadapnya bagi menuntut pembayaran.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS