DAP hari ini menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga pengerusi Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) Tan Sri Koh Tsu Koon supaya menggantung dan menyemak semula projek lebuh raya Banting-Taiping bernilai yang bernilai RM7.07 bilion.
Sehubungan itu, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua juga mahu penjelasan mengenai peningkatan kos sebanyak 134 peratus dan menuntut jawapan sama ada ia selaras dengan Program Transformasi (GTP) Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.
“PEMANDU mesti menuntut Pejabat Perdana Menteri mendedahkan semua butiran termasuk syarat konsesi dalam menganugerakan kontrak kepada Europlus, khususnya kerana ia dibuat menerusi rundingan langsung.
“Sudah lebih dari lima hari sejak pengumuman dibuat oleh Europlus di Bursa Malaysia, tetapi kerajaan masih enggan memberi penerangan tentang projek itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Pua, konsesi lebuh raya selama 60 tahun untuk Europlus seperti melangkau janji-janji GTP, terutamanya dengan peningkatan kos dari RM3.02 bilion dan lanjutan tempoh konsesi 27 tahun dari asalnya 33 tahun yang ditandatangani pada tahun 2007.
Beliau yang juga ahli parlimen Petaling Jaya Utara berkata, sedangkan melalui GTP, kerajaan berjanji untuk “mengurangkan ketirisan dana yang diperuntukkan untuk pembangunan negara dan perbelanjaan operasi dan memastikan ketelusan dalam penganugerahan kontrak.”
Bagaimana pun, katanya, projek pembinaan lebuh raya itu nampaknya meragukan dalam banyak segi.
“Sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab melaksanakan GTP yang menjanjikan ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’, PEMANDU mesti memastikan pisang tidak berbuah dua kali seperti perjanjian-perjanjian penswastaan sebelum ini oleh kerajaan BN.
“Adakah Koh Tsu Koon berani untuk menuntut agar projek lebuh raya itu digantung sementara menunggu kajian semula untuk memastikan bahawa Malaysia pulih dari calar-calar ketelusan seperti laporan oleh Transparency International?
“Atau adakah Koh Tsu Koon menjadi pengecut dan mahu lari dari tanggungjawabnya sebagai pengerusi Pemandu?” soal beliau.