Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Razak terus menerima kritikan daripada kumpulan mahasiswa kerana mempertahankan penggunaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) terhadap lima penuntut Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang dikendalikannya.
Dalam kenyataan terbaru, tiga kumpulan mahasiswa - termasuk Legasi Mahasiswa Progresif yang diterajui aktivis siswa kontroversi Adam Adli Abd Halim - menggesa hukuman terhadap pelajar KUIN ditarik balik dan permohonan maaf dibuat.
"Tarik balik hukuman terhadap mereka dan sedia pohon maaf terhadap kezaliman ke atas mereka (mahasiswa), atau KUIN dan Ustaz Azizan akan terus dikenang sebagai pemimpin yang tidak bertanggungjawab dan hanya berjanji kosong," kata mereka.
Mereka juga mengingatkan pemimpin PAS itu bahawa mahasiswa yang digantung KUIN itu berani menyatakan kebenaran dan bukan pengamal budaya ampu, seperti didakwa berlaku pada "orang sekelilingnya".
Kumpulan mahasiswa berharap lebih ramai pihak tampil membantah tindakan yang didakwa bukan sahaja tidak menghormat mahasiswa tetapi juga melanggar janji Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga.
Selain Adam Adli, kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Timbalan Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen Khalid Mohd Ismath dan Setiausaha Akhbar Aksi Mahasiswa Peduli Ekhsan Bukharee Badarul Hisham.
Mei lalu, lima mahasiswa KUIN digantung pengajian, antaranya kerana dituduh menyertai demonstrasi, memberikan ucapan kepada umum dan mengadakan sidang akhbar berhubung bantahan pembukaan Sekolah Insan Bestari yang menggunakan bangunan tahfiz.
Bagaimanapun tempoh penggantungan bagi empat daripadanya telah tamat.
Sebelum ini, pelbagai pihak sudah menyatakan bantahan mereka, termasuk Pemuda PAS, kumpulan peguan dan aktivis mahasiswa.