Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS persoal KUIN guna AUKU hukum siswa
Diterbitkan:  Jan 20, 2012 5:58 PM
Dikemaskini: 10:02 AM

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) hari ini mempersoalkan bentuk hukuman dan cara yang diambil oleh Kolej Universiti Insaniah (KUIN) milik kerajaan negeri Kedah mengggantung lima mahasiswanya dengan mengunakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Sehubungan itu, DPPP mengulangi pendiriannya mendesak pemansuhan AUKU.

Dalam satu kenyataan, ketuanya Nasrudin Hassan berkata, beliau tidak mengambil sikap menghukum siapa benar dan siapa pula salah dalam hal kes penggantungan mahasiswa KUIN itu.

"Kerana pastinya kedua-dua belah pihak mempunyai hujah masing-masing dalam mempertahankan sikap dan tindakan yang diambil, tetapi saya mempersoalkan bentuk hukuman dan cara ianya diambil.

"Menggunakan AUKU bukanlah langkah bijak sebagaimana menafikan hak mahasiswa bersuara juga bukan langkah yang baik," katanya.

Semalam Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dilapor berkata AUKU tetap dikenakan terhadap mahasiswa KUIN yang melakukan kesalahan dan penggantungan lima mahasiswa KUIN tahun lalu adalah mengikut peruntukan bawah kesalahan AUKU serta pentadbiran berbuat keputusan berdasarkan undang-undang sedia ada.

Lima mahasiswa KUIN itu digantung pengajian kerana dituduh menyertai demonstrasi, memberikan ucapan di hadapan orang ramai menggunakan pembesar suara di sudut pidato dan mengadakan sidang akhbar berhubung bantahan pembukaan Sekolah Insan Bestari yang menggunakan bangunan tahfiz.

Bagaimanapun tempoh penggantungan bagi empat daripadanya telahpun tamat.

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata beliau juga beberapa kali bertemu dengan Azizan termasuk mengeluarkan kenyataan media, menggesa dan merayu supaya KUIN "bertindak wajar dan tidak menggantung lima mahasiswanya" bahkan merancang untuk mengadap pentadbiran KUIN.

"Namun hasrat itu tergendala apabila saya dimaklumkan bahawa kes ini akan dibawa ke mahkamah oleh pihak mahasiswa. Maka biarlah mahkamah yang membuat keputusan kerana kes ini telah dihadapkan ke mahkamah," katanya.

Mengakui pernah bertemu dan mendengar suara mahasiswa berkenaan bersama-sama beberapa pemimpin Pemuda PAS, Nasrudin berkata pihaknya akur dengan keputusan mereka untuk membawa perkara tersebut ke mahkamah dan mendoakan kejayaan mereka.

"Apa yang saya tegaskan ialah, jika antum (kamu semua) rasa ini adalah satu kebenaran maka antum mesti mempertahankan pendirian antum dan hadapinya sehingga berjaya. Inilah idealisme mahasiswa dan perjuangkannya," katanya.

"Teruskan perjuangan membebaskan mahasiswa dari kepungan AUKU, biar siapa yang terpaksa didepani.

"Namun nasihat saya selaku ketua DPPP, berjuanglah dalam kawalan adab dan akhlak yang diajar oleh Islam, agar tidak emosi menguasai diri tetapi kebijaksanaan, kewibawaan dan kematangan mahasiswa kelak akan membuka mata semua pihak," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS