Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman menganggap penambahbaikan sistem pilihan raya negara ini sebagai sekadar “perubahan ekor” dan tidak melibatkan perkara pokok melibatkan akta dan perlembagaan.
Sepatutnya, kata Abdul Rashid, perkara melibatkan stuktur dan bidangkuasa SPR yang terhad, lebih utama dipinda dan bukan sekadar pindaan peraturan, seperti dicadangkan oleh jawatankuasa pilihan khas (PSC) parlimen mengenai penambahbaikan sistem pilihan raya.
“Perkara struktural itu asas. Yang lain, yang kecil-kecil dicadangkan PSC itu melibatkan peraturan saja. Pada saya seminggu saja sudah boleh buat.
“Selepas itu hantar kepada (Yang di-Pertuan Agung) tandatangan saja,” katanya kepada pemberita selepas forum membincangkan pilihan raya bebas dan adil anjuran kerajaan Kelantan di Kota Baharu malam tadi.
Turut terlibat sebagai ahli forum Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan exco kanan Kelantan Datuk Husam Musa.
Abdul Rashid berkata, apa yang berlaku sekarang bidangkuasa pengerusi SPR ditetapkan dalam Akta Suruhanjaya Pilihan Raya dan suruhanjaya itu juga terpaksa berkongsi kuasa dengan badan lain seperti polis dan jabatan kerajaan tertentu dalam mengendalikannya.
“Kita diminta adil, tetapi kalau banyak perkara dalam undang-undang tak ada... Pilihan raya berpaksi pada undang-undang, tetapi kalau undang-undang pincang, ia perlu dibaiki.
“Beri kuasa sepenuhnya kepada SPR untuk menentukan bentuk pilihan raya yang boleh diterima umum sebagai bersih dan adil,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata cadangan pindaan yang dibuat sekarang mesti disokong walaupun kecil kerana ia menunjukkan terdapatnya kehendak politik untuk menambahbaikan sistem pilihan raya.
Ditanya kenapa pendiriannya sekarang berbeza sama sekali dengan sewaktu berkhidmat 27 tahun dengan SPR sebelum ini, Rashid berkata, perkara itu demikian kerana beliau sewaktu itu diikat dengan bidangkuasanya dan mesti menjaga perhubungan dengan pemerintah.
“Dulu saya tidak boleh kata sebab ada akta. Sekarang tak ada akta boleh kawal saya kecuali akta tuhan. Sekarang kalau tak betul, saya kata tak betullah.
“Saya rasa sudah tiba negara ini membuat perubahan yang sesuai bagi pengurusan pilihan raya. Pilihan raya ini darah daging saya. Ini sudah 54 tahun peaturan sama, kita kena kajilah,” katanya.
Sementara itu, dalam wacana sebelum itu, selain hampir senada dengan tuntutan BERSIH supaya media awam mesti bebas dan adil sepanjang tempoh berkempen, Rashid juga membuat cadangan drastik supaya parti politik, tidak kira parti, diberikan peruntukan kewangan oleh kerajaan, seperti amalan di negara maju.
Katanya, ia supaya demokrasi melalui pilihan raya lebih subur di negara ini kerana lebih banyak parti lebih baik.
Tambahnya, apa yang berlaku sekarang, daripada 30 parti yang didaftarkan, sebanyak 20 daripadanya tidak dapat bergerak kerana kurang dana.
Cadangan itu mendapat sorakan gamat penonton yang sebelum itu mencemuh dan mengejek atas kenyataannya di awal majlis bahawa tiada pilihan raya yang benar-benar adil di dunia ini.